TERKINI :

Wednesday, September 7, 2016

Nasi lemak punca 16 pelajar di asrama sekolah keracunan di Kuala Nerang

 Nasi lemak punca 16 pelajar keracunan
KUALA NERANG - Seramai 16 pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Syed Ahmad (SMKDSA) mengalami muntah-muntah dan pening akibat keracunan makanan.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail ketika dihubungi berkata, Pejabat Kesihatan Padang Terap menerima maklumat dari sekolah itu berkenaan kejadian pada jam 9.10 malam kelmarin.

Katanya, seramai 13 pelajar sekolah itu berusia 13 hingga 16 tahun telah mengalami cirit birit serta muntah sejak jam 6.30 petang dan telah mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Nerang (HKN), manakala tiga daripadanya hanya mengalami gejala yang ringan.

“Pelajar itu adalah antara seramai 259 orang yang tinggal di asrama sekolah berkenaan. Kejadian keracunan makanan itu adalah berpunca dari nasi lemak, ikan bilis dan telur yang dimakan pada Sabtu lalu semasa pelajar bercuti mingguan ke luar dari sekolah.

“Pejabat Kesihatan Padang Terap telah mengambil sampel lebihan nasi dari rumah penjual yang telah dikenal pasti punca pelajar berkenaan mengalami keracunan makanan.

“Penjual tersebut didapati tidak mematuhi peraturan ditetapkan bagi pengendali makanan,” katanya.

Norhizan berkata, sehubungan itu pihaknya telah memberi amaran dan tidak membenarkan peniaga itu menjual makanan sehingga beliau mematuhi peraturan pengendali makanan sebagaimana ditetapkan.

Katanya lagi, peniaga itu turut diberi pendidikan kesihatan supaya mengamalkan keselamatan dalam penyediaan dan penjualan makanan.

Seorang pelajar asrama yang enggan dikenali berkata, kemungkinan rakannya itu telah membeli makanan di luar kawasan sekolah semasa mereka ke luar kerana cuti mingguan.

“Kebanyakan pelajar yang mengalami keracunan makanan telah membeli nasi dari luar. Jika ada pihak yang menyangka makanan itu disediakan oleh pihak asrama, sudah tentu saya juga akan turut mengalami keracunan makanan bersama mereka.

“Bagaimanapun, sehingga hari ini saya dan ramai lagi pelajar yang tinggal di asrama dan mengambil makanan pada waktu petang di asrama tidak mengalami sebarang keracunan dan ini sudah pasti makanan dari luar punca menyebabkan rakan-rakan saya itu telah sakit," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...