TERKINI :

Sunday, September 11, 2016

Muhyiddin sokong pembebasan Anwar, jadi agenda perjuangan

September 11, 2016

Muhyiddin sokong pembebasan Anwar, jadi agenda perjuangan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Presiden penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyokong pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan berikrar menjadikan ia agenda perjuangannya.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, beliau tidak melihat ada kebarangkalian kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan membebaskan bekas ketua pembangkang itu. “Saya rasa amat kasihan apa yang ditanggung Anwar. Sama ada betul atau tidak betul, terserah kepada Allah.

Kita terkilan beliau merengkuk dalam penjara. “Ada yang tanya saya boleh ke bebaskan Anwar? Saya lihat slogan ‘Bebas rakyat bebas Anwar’ dilaungkan. Bebaskan rakyat menerusi sistem pilihan raya, maka jika ada pimpinan baharu daripada kita, kita bersama akan fikirkan nasib Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jika kita bersetuju itu pra syarat pentingnya, tidak sukar untuk kita bersama membentuk kerajaan baharu kelak,” katanya yang dipetik portal berita pro-Amanah, Malaysia Dateline pada Program Jelajah Selamatkan Malaysia di Jelebu, semalam.

Sehubungan itu, ahli Parlimen Pagoh itu menyeru rakyat memberi mandat kepada PPBM serta pakatan pembangkang pada pilihan raya umum akan datang untuk menyelesaikan masalah dihadapi negara melalui pembentukan sebuah kerajaan beramanah dan bertanggungjawab.

“Nak selesaikan masalah kena tukar kerajaan dan semua pemimpin BN perlu diturunkan. Saya tidak akan balik semula kepada Umno, kerana Umno dikaitkan kini dengan budaya tidak elok, korupsi, sekatan sana sini…buat rakyat takut.

“Kita perlu wujudkan barisan ‘people front’, rakyat perlu berada di barisan hadapan, selain semua parti politik pembangkang ke arah wujudkan barisan kukuh dan bersetuju bertanding satu lawan satu,” katanya sambil menambah, PPBM perlu berbincang dengan parti pembangkang lain untuk mencari satu manifesto bersama.

Isnin lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat penampilan mengejut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan menemui Anwar sebelum mahkamah bersidang dan mereka kelihatan berpelukan dan bersalaman sebelum beransur ke bilik saksi untuk mengadakan perbincangan tertutup selama 30 minit.

Pertemuan bersejarah itu menimbulkan pelbagai tanda tanya. Namun, bekas perdana menteri itu menepis spekulasi media sosial dengan berkata, beliau tidak berdamai dengan Anwar, sebaliknya mereka hanya membincangkan Akta Majlis Keselamatan Negara.

Dr Mahathir yang merupakan pengasas dan pengerusi sementara PPBM memecat Anwar pada 2 September 1998, selepas dituduh menyalahgunakan kuasa dan salah laku seks.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...