TERKINI :

Sunday, September 4, 2016

Mufti - P Pinang tak haramkan Pokemon

Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor

GEORGETOWN - Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor memaklumkan permainan Pokemon Go! tidak haram.

Itulah yang diputuskan melalui mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 22 Ogos lalu.

"Keputusan ini akan disahkan dalam mesyuarat jawatankuasa yang sama pada pertengahan Oktober akan datang," katanya kepada Sinar Harian.

Wan Salim berkata, keputusan tersebut dibuat setelah ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang tidak menemui nas yang jelas menyatakan hukum haram bagi permainan tersebut.

"Menurut kaedah feqah, hukum asal sesuatu perbuatan itu ialah harus selagi tidak ditemui nas yang mengharamkannya secara jelas.

"Dalam keadaan ini kita hanya boleh membandingkan aspek kemanfaatan dan kemudaratannya sahaja, yang manakah lebih berat atau lebih banyak. Jika manfaatnya lebih daripada mudaratnya maka ia diharuskan, begitulah sebaliknya," katanya.

Beliau menambah, melalui isu permainan Pokemon Go!, jabatan mendapati mudaratnya melebihi manfaat.

"Oleh kerana itu kita menasihatkan umat Islam menjauhinya namun kita tidak memutuskan sebagai haram kerana boleh dituduh mengharamkan sesuatu tanpa bersandar kepada nas yang jelas.

"Kita tidak berhak berbuat demikian kecuali jika para ulamak bersepakat menentukan hukum haramnya maka kita akan akur dengan keputusan bersama ini. Dalam isu ini tiada kesepakatan atau ijmak yg dicapai antara kaum muslimin," katanya.

Walaupun begitu Wan Salim menegaskan supaya umat Islam tidak melibatkan diri dengan permainan ini.

"Memang ia tidak diputuskan haram, namun umat Islam perlu menjauhinya kerana bimbang akan melalaikan seseorang.

"Ia termasuk lalai daripada nenunaikan tanggungjawab kepada keluarga, tugas rasmi dan agama," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...