TERKINI :

Thursday, September 29, 2016

Melampau bekalan air pun kena GST

Rafizi Ramli

SHAH ALAM – Tindakan kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dikenakan ke atas bekalan air terawat dan perkhidmatan pembekalan air perlu dihentikan bagi mengurangkan beban ditanggung oleh rakyat.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, beliau mendesak supaya satu arahan dikeluarkan segera bagi membatalkan perintah kutipan GST untuk bekalan air ke kediaman dan kemudahan rakyat miskin.

"Bukan sahaja tindakan ini melampaui batas kerana mensasarkan kutipan GST dari golongan miskin dan kurang bernasib baik, malah pelaksanaan kutipan cukai itu ke atas bekalan air ini dibuat secara senyap-senyap tanpa dihebahkan lebih awal kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rafizi berkata demikian merujuk kepada surat dari Jabatan Air Negeri Sabah bertarikh 13 September lalu kepada semua jurutera air bahagian mengenai pelaksanaan kutipan GST ke atas bekalan air terawat dan perkhidmatan membekalkan air.

Selain itu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menghentikan segera sebarang perjalanan menggunakan jet peribadi, helikopter atau apa-apa kemudahan perjalanan udara khusus untuk beliau, isteri dan menteri-menteri.

"Sekiranya kedua-dua ini tidak menerima apa-apa maklum balas dalam masa terdekat, saya akan mengatur supaya tunjuk perasaan mendesak membatalkan GST ke atas bekalan air di rumah pangsa, masjid, rumah kebajikan dan lain-lain diadakan bermula dengan kawasan saya di Pandan yang mempunyai banyak rumah pangsa," katanya.

Dalam pada itu, Rafizi memaklumkan bahawa kerajaan tidak mengutip cukai dari urus niaga bernilai berbilion ringgit yang melibatkan orang kaya iaitu keuntungan dari jual beli saham berikutan negara ini tidak mempunyai Cukai Keuntungan Modal (Capital Gains Tax).

Oleh sebab itu, beliau berkata tindakan mengutip cukai dari bekalan air ke rumah pangsa, masjid, rumah kebajikan dan perkhidmatan bekalan dan penyambungan air adalah satu perbuatan yang tidak boleh diterima.

"Saya ingin ingatkan Datuk Seri Najib bahawa saya dan sahabat dari Pakatan Harapan telah memberi amaran sejak tahun 2010 lagi bahawa memperkenalkan GST akan membantutkan perbelanjaan rakyat dan seterusnya membawa kesan kepada pertumbuhan ekonomi serta keupayaan kerajaan mengutip cukai bagi menampung perbelanjaan negara,"katanya.


No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...