TERKINI :

Thursday, September 22, 2016

MANA SATU YANG BETUL ATAUKAH NAJIB CUBA DIMALUKAN PMO?

Shahbudin Husin,

http://www.thestar.com.my/~/media/online/2015/06/11/21/22/main_ni_1206_p2_nurilyanna_1.ashx/?w=620&h=413&crop=1&hash=72B2F8221D77FBD90EBAA4230E0A3FDBEA3FCA05
Sejak lewat petang semalam telah tersiar berita di media dan portal dalam talian mengenai kenyataan Najib Razak berhubung pertemuan Tun Mahathir Mohamad dengan Yang Dipertuan Agong berkaitan Deklarasi Rakyat.

Dalam kenyataan media itu, Najib memberitahu bahawa Yang Dipertuan Agong hanya mengambil maklum perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir, tetapi tidak boleh mencampurinya.

Ini kerana, menurut Najib, deklarasi yang diusahakan itu tidak mengikut Perlembagaan dan sebarang tindakan sepatutnya dilakukan menurut amalan lazim iaitu sama ada melalui Parlimen atau sistem pilihanraya yang melibatkan rakyat.

Membaca berita yang tersiar itu, ramai yang tertanya-tanya, mengapa Najib sendiri yang mengeluarkan kenyataan yang berkaitan usaha untuk menyingkirkannya?

Sudah tentu jika kenyataan seperti itu mahu dikeluarkan, ia lebih sesuai dilakukan oleh pihak Istana Negara sendiri. Namun, jika pihak Istana Negara tidak berbuat demikian dan oleh kerana  pemakluman mengenai pertemuan dengan Tun Mahathir itu dilakukan oleh Yang Dipertuan Agong kepada Najib sendiri, ia lebih berupa pernyataan mengenai pendirian baginda kepada Perdana Menteri semata-mata.

Apakah ia perlu dijadikan kenyataan umum dengan Najib seolah-olah membela dan mempertahankan dirinya sendiri?

Tidakkah dengan Najib sendiri mengeluarkan kenyataan tersebut menunjukkan beliau begitu terdesak dan agak terganggu dengan pertemuan Tun Mahathir dengan Yang Dipertuan Agong itu?

Dalam masa yang sama, di media-media sosial pula tersebar kenyataan media penuh empat perenggan yang dikeluarkan oleh Najib itu.
 
Meneliti kenyataan itu, ramai yang  perasan mengenai wujudnya beberapa kesilapan fakta dalam kenyataan media itu, antaranya:- 

- dalam perenggan pertama, PPBM disebut sebagai Parti Pribumi Perkasa Malaysia sedangkan namanya yang betul ialah Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Pribumi Perkasa adalah NGO milik Ibrahim Ali.

- pertemuan Tun Mahathir dengan Yang Dipertuan Agong dikatakan berlangsung di  Istana Bukit Malut, Langkawi walhal yang diberitakan sebelum ini ia berlaku di Istana Anak Bukit, Alor Setar.

- jawatan sebenar Tun Mahathir ialah Pengerusi dan bukan Penasihat PPBM.

- dalam perenggan ketiga PPBM bertukar menjadi PBBM.

Benarkah ia surat asli yang dikeluarkan oleh Najib? 

Jika ia benar, mengapa berlaku kesilapan-kesilapan fakta yang besar seperti itu?

Bukankah ia sesuatu yang memalukan Najib dan Pejabat Perdana Menteri atau PMO?

Bagaimanapun, beberapa portal masih memuatkan fakta pertemuan Tun Mahathir dengan Yang Dipertuan Agong itu berlangsung di Istana Bukit Malut Langkawi, manakala yang lain-lain sudah melakukan pembetulan atau menulisnya berdasarkan pemahaman sendiri bahawa majlis mengadap itu berlaku di Istana Anak Bukit, Alor Setar.

Agar mengejutkan juga, di laman facebook dan twitter milik Najib langsung tidak ditemui berita dan hebahan surat mengenai perkara itu. Mengikut kebiasaan dan amalam lazim, Najib sudah tentu suka memuatkan kenyataan media seperti itu kerana ia adalah kenyataannya sendiri, lebih-lebih lagi juga merupakan kesempatan untuk merendah-rendahkan perjuangan Tun Mahathir dan PPBM.
 
Hanya di laman facebook dan twitter PMO Malaysia, terdapat kenyataan media Najib itu. Ia nampak berbeza dengan kenyataan media yang tersebar sebelum itu dengan semua kesilapan fakta sudah diperbetulkan.

Tetapi kenyataan itu menunjukkan ia dimuatkan pada jam 10.34 malam sedangkan di portal-portal berita, ia sudah boleh dibaca sebelum itu lagi.

Apakah kenyataan media asal itu sudah dipadamkan dan digantikan dengan kenyataan baru yang fakta-faktanya sudah diperbetulkan?

Kiranya ia benar, amatlah malang kerana baru beberapa hari lalu Rosmah Mansor dimalukan dengan berita penarikan gelaran "Lead by Example" oleh Unesco, sekarang Najib pula diaibkan oleh kenyataan yang disediakan oleh PMO sendiri. (SH 22/09/2016).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...