TERKINI :

Saturday, September 3, 2016

Mahfuz - Tunggu Najib umum siapa MO1

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri perlu tampil menyatakan identiti Malaysia Official 1 (MO1) yang disebut dalam laporan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan itu perlu bagi mengelak tanggapan Najib tidak seberani Menterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

"Selagi Najib tidak membuat penjelasan siapa MO1, ini akan menunjukkan ada menteri yang takut hendak menyatakan siapa MO1 itu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Rahman Dahlan perjelas kenyataannya dalam BBC]

"Walaupun ada menteri yang terkeluar cakap dan menyatakan MO1 itu ialah Perdana Menteri. Ini akan mempamerkan kabinet tidak sehaluan," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Abdul Rahman yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dilaporkan agensi berita antarabangsa, BBC News mengesahkan MO1 yang dirujuk sebanyak 36 kali dalam saman sivil DOJ berkaitan penyelewengan dana 1MDB adalah Najib.

Menurut Mahfuz lagi, Kabinet dan Peguam Negara perlu sepakat dalam menyokong atau menolak kenyataan Abdul Rahman yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Dalam pada itu, Mahfuz berkata, beliau yakin Najib akan bersetuju di mana rakyat ingin melihat Perdana Menteri  yang berani dan bertanggungjawab.

"Berani bertanggungjawab adalah ciri pahlawan Bugis yang pernah kita baca. Kita tak mahu rakyat melihat Najib seperti yang selalu dilihat orang di Bugis Street.

"Oleh itu, Najib perlu menampilkan watak kepahlawanan Bugisnya  menyatakan siapa MO1," katanya.

Mahfuz Omar

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...