TERKINI :

Saturday, September 10, 2016

Mahathir, Anwar berdamai!

MUHAMAD MAT YAKIM
10 September 2016

SAYANG sekali, saya hanya mampu menilai dari gambar. Lama saya renung dan cuba suluh dengan hati. Anwar tersenyum manakala Mahathir, wajahnya terlindung.

Melihat tangan kanan mereka saling berjabat manakala tangan kiri Anwar pula memekup tangan kiri Mahathir – seperti kanak-kanak bermain tom tom bak - saya yakin hati mereka masing-masing riuh berbicara tanpa suara, jauh melebihi apa yang mampu diungkap dengan kata-kata.

Itu adalah detik dan peristiwa yang cukup bermakna bagi seluruh rakyat Malaysia. Dahulu mereka pernah saling mesra – seperti anak dengan bapa.

Setelah mengenepikan dua timbalan dan pesaingnya dalam Umno, Mahathir menyediakan karpet merah untuk Anwar memasuki istana kuasa. Dia ditatang persis putera mahkota.

Namun disebabkan suatu isu yang semua orang pun tahu, Anwar hilang segala-galanya dalam sekelip mata. Mahathir sendiri juga begitu kecewa. Mereka kemudian mengubah status saling menjadi musuh nombor satu. Itu lebih menyakitkan sebenarnya berbanding hubungan dua insan yang sudah sedia bermusuhan.

 Anwar adalah Anwar. Dia tidak berlengah untuk mengubah diri daripada seorang Timbalan Perdana Menteri kepada pejuang jalanan. Memanfaatkan pengalaman sebagai pemimpin pelajar ketika zaman mudanya, dia turun mencetuskan gelombang di seluruh negara.

Seperti kata anaknya, Nurul Izzah, dalam tempoh 18 hari sahaja selepas dipecat, Anwar telah menjelajah seluruh negara dan berjaya mencetuskan momentum sekali gus mengubah landskap politik tanah air hingga hari ini.

Dalam hubungannya dengan Mahathir, sepanjang masa lalu, ia seperti mustahil untuk melihat kemungkinan mereka bertemu semula, apatah lagi berjabat tangan dalam keadaan begitu mesra seperti apa yang berlaku pada 5 September. Namun itulah yang telah terjadi.

Jahil

Bagaimanapun Mahathir ketika menjawab soalan pemberita selepas itu berkata, bertemu dan menjabat tangan Anwar tidaklah membawa erti dia akan berdamai dengan bekas timbalannya itu.

"Saya berminat dengan kes ini kerana ia membabitkan keselamatan negara. Perkara ini ada ditulis dalam blog saya dan itulah juga yang dia sendiri lakukan. Kami mempunyai pendirian yang sama. Jadi saya datang jumpa beliau dan kami berbual panjang berkaitan apa yang sedang beliau lakukan," katanya ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari itu untuk mengikuti perkembangan kes permohonan Anwar mendapatkan perintah injunksi menghalang pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016.

Apabila ditanya sama ada mereka bersahabat, setidak-tidaknya menjadi rakan dalam pembangkang, sambil ketawa Mahathir berkata: "Saya tidak tahu tentang kawan tetapi saya bercakap dengan beliau."

Ditanya lagi adakah dia (Mahathir) akan merestui untuk Anwar jadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang pilihan raya akan datang, kata Mahathir: "Saya restui tindakan beliau terhadap MKN dan juga kes lainnya."

Sekali lagi ditanya mengenai jawatan Perdana Menteri, Mahathir tidak boleh mengelak lagi. Sambil tertawa dia berkata: "Itu terlalu awal untuk saya putuskan!"

Itu kata-katanya.

Kedua-dua Mahathir, juga Anwar adalah individu yang kaya dengan pengalaman politik. Sejak muda mereka bergelumang malah berperang kerana politik. Lalu selepas perseteruan yang begitu panjang, tiba-tiba mereka bertemu, adakah itu boleh diterima sebagai pertemuan biasa, yang tidak ada apa-apa melainkan sekadar berkongsi pendirian yang sama menentang satu akta?

Mahathir, juga Anwar bukanlah orang jahil untuk menjangka hujanan spekulasi dan persepsi atas tindakan mereka. Mereka pasti tahu apa yang akan berlaku. Apabila mereka tetap melakukannya, ini sudah tentu sesuatu yang disengajakan oleh mereka berdua. Kedua-duanya telah bersedia untuk meraih manfaat dan kepentingan daripada satu peristiwa!

Sebantal

Maka tidak hairanlah apabila Azmin Ali, orang kepercayaan Anwar yang pada satu ketika pernah juga bekerja dan menjadi orang kepercayaan Mahathir akhirnya buka mulut menceritakan apa yang sebenarnya berlaku di dalam bilik tertutup pada hari itu.

Menurut Azmin,  apa yang diperlihatkan kepada dunia bukanlah pertemuan dua individu yang semata-mata berjabat tangan tetapi dua negarawan yang bersedia untuk mengenepikan apa yang pernah berlaku antara mereka pada masa lalu, juga mengenepikan perbezaan yang sedia ada dalam hubungan mereka demi masa depan negara dan rakyat Malaysia.

Azmin kemudian mengakui bahawa memang ada pertemuan lapan mata melibatkan Mahathir, Anwar, Wan Azizah dan dia sendiri selama kira-kira 30 minit pada hari itu.

"Dan ini adalah permulaan pada satu penyatuan," tegasnya.

Bukan itu sahaja. Apa yang disebut oleh Azmin, juga diceritakan oleh Nurul Izzah dari perspektif mengenai ayahnya.

“Hakikat bahawa Datuk Seri Anwar bersalaman dan tersenyum mesra ketika bertemu Dr. Mahathir adalah simbol pentingnya bergerak ke depan untuk memperkuatkan demokrasi berbanding memfokuskan kesengsaraan peribadi."

Menurut Nurul Izzah, sememangnya tidak mudah untuk Anwar bertemu dan berjabat tangan dengan seseorang yang dianggap menjadi punca kesengsaraan hidupnya dan keluarga sejak sekian lama.

"Ini menunjukkan beliau adalah seorang yang sanggup mengenepikan perasaan peribadi demi kepentingan rakyat dan negara," katanya.

Meneliti apa yang berlaku, jelaslah bahawa Mahathir dan Anwar, kedua-duanya adalah 'political animal' yang disebut oleh Aristotle sebagai zoa politika. Tindak tanduk mereka juga membenarkan pandangan Machiavelli mengenai konsep the ends justify means atau matlamat membenarkan cara.

Sememangnya tingkah laku manusia dalam berpolitik menetapkan hukum bahawa tidak ada kawan yang kekal dan tidak ada musuh yang kekal. Yang kekal hanyalah kepentingan seperti yang diungkapkan Lord Palmerstone, bekas Perdana Menteri Britain: "Dalam politik, tidak ada kawan atau musuh, yang ada hanya kepentingan."

Apabila perbezaan bertembung dalam satu lingkaran yang dinamakan kepentingan (dan bermatlamatkan kuasa), orang politik dengan karakter 'political animal' boleh mengenepikan apa sahaja perbezaan demi kepentingan itu. Mereka boleh mengenepikan percanggahan – untuk sementara ataupun dalam tempoh yang lama – tatkala berhadapan dengan lawan yang sama.

Memerhati tingkah laku political animal, kita harus mempercayai bahawa pegangan mereka adalah the enemy of my enemy is my friend. Mereka (yang bermusuhan) boleh berubah menjadi kawan untuk menghadapi satu pihak yang mereka sama-sama lawan.

Dalam hal ini, lawan mereka sudah tentu Najib!

Menjatuhkan Najib jadi matlamat bersama Mahathir dan Anwar. Namun itu bukan semestinya bermakna bahawa kedua-dua ikon politik itu telah bersatu ataupun akan bersatu. Mereka bagaimanapun boleh berdamai, setidak-tidaknya untuk menjayakan misi yang sedang diterokai.

Akan hakikat boleh berdamai tetapi tidak bersatu itu sudah jadi pengalaman bagi Pas dan DAP ketika bersama dalam Pakatan Rakyat dahulu. Tidur sebantal, mimpi berbeza bukanlah penyatuan yang hakiki.

Atas sebab itulah, Anwar ketika memberi reaksi terhadap penyertaan Azmin dan sebilangan pemimpin PKR di peringkat awal kempen Deklarasi Rakyat yang diusahakan oleh Mahathir, jelas ketidaksetujuan dan kewaspadaannya. Dan sudah tentu, antara dua episod itu – penentangan awal kerjasama sesetengah pemimpin PKR dengan kempen Mahathir – dengan apa yang berlaku pada 5 September lalu, jalan telah dirintis (oleh Azmin) untuk kedua-duanya bertemu.

Apabila Anwar senyum, berjabat tangan dengan sebelah lagi tangannya memekup tangan Mahathir pada hari itu, bolehlah dianggap bahawa hal hubungan mereka telah diangkat ke aras paradigma yang berbeza.

Mungkin itu yang boleh ditafsirkan sebagai berdamai walaupun Mahathir cuba menafikannya.

Apa pun, pasti ada yang sukar tidur lena kerana berdamainya mereka!

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...