TERKINI :

Saturday, September 3, 2016

Lesen Lynas diperbaharui 3 tahun lagi

The-Save-Malaysia-Stop-Lynas

KUALA LUMPUR: Lembaga Pelesenan Tenaga Atom Malaysia (AELB) memperbaharui Lesen Peringkat Operasi Penuh (FOSL) kepada Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) bagi tempoh tiga tahun sehingga September 2019.

Lynas Corporation Ltd dalam satu kenyataan berkata, pembaharuan lesen itu disusuli kajian ketat yang dilaksanakan AELB dan badan kawal selia bebas lain di Malaysia.

Pihak berkenaan memutuskan LAMP yang terletak di Gebeng, Kuantan, mematuhi peraturan berkaitan.

"Kami gembira lesen kami sudah diperbaharui, sekaligus menunjukkan operasi LAMP selama empat tahun ini adalah selamat," kata Ketua Pegawai Eksekutif, Amanda Lacaze.

Beliau berkata, Lynas mempunyai data operasi empat tahun yang menunjukkan tiada peningkatan paras radiasi pada jarak satu kilometer (km), 10km atau 20km dari loji tersebut.

"Tiada kesan buruk ke atas penempatan berhampiran Kuantan atau perkampungan sekitarnya, manakala semua buangan air dinilai selamat pada setiap masa untuk masyarakat setempat," katanya.

Beliau berkata, paling penting ialah Lynas terus menyediakan bacaan operasi masa sebenar dalam talian secara langsung kepada pihak berkuasa berkenaan yang boleh diakses orang awam melalui laman web AELB dan Jabatan Alam Sekitar.

"Kami mempunyai bukti jelas dan pensijilan dari badan bebas yang operasi serta pengeluaran kami adalah selamat.

"Lynas komited untuk terus menjadi penyumbang bernilai kepada masyarakat setempat Kuantan serta amnya Malaysia. Pembaharuan FOSL bagi tempoh tiga tahun lagi adalah asas penting kepada komitmen kami," kata Lacaze.

Julai lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dilaporkan berkata, dakwaan berlakunya pencemaran dan penduduk menghidapi kanser oleh penunjuk perasaan anti-Lynas tidak munasabah, memandangkan loji Lynas di Gebeng, Kuantan sudah beroperasi selama tiga tahun tanpa sebarang masalah.

LAMP merupakan antara loji pengasingan nadir bumi terbesar dan termoden di dunia. Ia direka untuk memproses nadir bumi yang dilombong di Mt Weld dari Australia dan mengeluarkan produk Oksida Nadir Bumi (REO) sebelum dijual kepada pelanggan dari Jepun, Eropah, China dan Amerika Utara.

Loji itu mula beroperasi pada akhir 2012.


No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...