TERKINI :

Tuesday, September 20, 2016

Konspirasi persempadanan semula: DAP dedah 7 kerusi bakal dirampas BN


DAP hari ini mengenal pasti 7 kerusi negeri yang bakal dirampas kembali Barisan Nasional (BN) di Selangor sekiranya usul persempadanan semula kawasan seperti dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diluluskan.

Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua berkata berdasarkan corak pengundian pada 2013, kerusi dewan undangan negeri (DUN) yang bakal dimenangi BN ialah Sabak, Hulu Kelang, Sementa, Selat Kelang, Pelabuhan Kelang, Sijangkang and Morib.

Selain itu, BN berpeluang menang di sekurang-kurangnya 10 kerusi DUN lagi disebabkan majoriti kemenangan ditipiskan oleh penyusunan semula SPR itu.

“Dengan manipulasi terbuka dan kempen agresif menggunakan retorik kaum dan agama, kemungkinan Selangor jatuh ke tangan BN adalah sesuatu yang nyata,” kata ahi Parlimen Petaling Jaya Utara itu dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, DAP Selangor akan mengadakan mesyuarat tergempar hari ini membincangkan langkah SPR itu, yang turut dikecam parti pembangkang lain kerana dilihat mengubah pemetaan kawasan pilihan raya bagi memberi kelebihan kepada BN.

BN di Selangor tewas pada pilihan raya umum 2008 dan sekali lagi gagal menawan kembali negeri terkaya di Malaysia itu pada 2013, dengan hanya menerima 12 kerusi diwakili Umno. PRU akan datang perlu diadakan pada 2018.

Beberapa pemimpin Pakatan Harapan sebelum ini mempersoalkan persempadanan semula itu dan mendakwa bilangan pengundi ramai di kerusi yang disandangnya merupakan usaha mencuri keputusan pilihan raya umum depan, kerana ia akan mengakibatkan bilangan kerusi lebih rendah di Parlimen.

Cadangan SPR itu melibatkan 128 kawasan Parlimen, dan boleh dibantah kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pengundi dalam kelompok 100 orang, sebelum 15 Oktober.

Semalam, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mencadangkan kerajaan Pakatan Harapan di Selangor mengadakan pilihan raya negeri lebih awal supaya ia tidak perlu memakai peta pilihan raya baharu dicadangkan SPR.

Cadangan itu bagaimanapun tidak dipersetujui Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali, yang berkata kerajaan Selangor sedang meneliti usul persempadanan semula kawasan pilihan raya sebelum membuat sebarang bantahan.

Menurut Pua, persempadanan semula SPR bukan sesuatu yang memeranjatkan di sebalik sokongan semakin lemah terhadap Datuk Seri Najib Razak susulan isu 1MDB.

Katanya, SPR mahu memastikan penyokong pembangkang dikumpulkan di bawah satu kawasan dengan bilangan pengundi yang amat ramai, di samping memecahkan kawasan lain kepada kerusi kecil bagi memberikan kemenangan dan bilangan kerusi lebih banyak kepada BN.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...