TERKINI :

Friday, September 23, 2016

Kerajaan Negeri disaran Bina muzium kereta api pertama di Kedah

Bina muzium kereta api pertama

ALOR SETAR - Persatuan Sejarah Cawangan Malaysia Kedah (PSMCK) mencadangkan kerajaan negeri membina muzium kereta api pertama di Kedah bagi memperingati sejarah sistem pengangkutan darat itu.

Pengerusi PSMCK, Datuk Dr Wan Shamsuddin Mohd Yusoff berkata, sistem pengangkutan kereta api memainkan peranan penting dalam negeri ini satu ketika dahulu.

"Contohnya Stesen Kereta Api Alor Setar digunakan ketika zaman pemerintahan Jepun yang tersembunyi cerita suka duka rakyat ketika itu.

“Pada zaman itu, ada penduduk dikerah menjadi buruh paksa bagi menyiapkan laluan kereta api yang menghubungkan beberapa kawasan terlibat,” katanya.

Menurutnya, penduduk juga menggunakan laluan kereta api itu sebagai sistem perhubungan mereka untuk ke Bukit Kayu Hitam dan Alor Setar.

"Bagaimanapun kini beberapa stesen kereta api lama sudah tidak beroperasi dan dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang kegunaan.

"Keadaan itu merugikan kerana generasi kini perlu mengenang pengorbanan masyarakat lalu yang membina laluan kereta api berkenaan demi kemudahan ramai," katanya.

Katanya, oleh itu, pihaknya berharap stesen kereta api lama yang tidak digunakan lagi agar tidak dimusnahkan sebaliknya dikekalkan.

"Selain dipelihara dan dipulihara, kami juga berharap stesen kereta api itu dihiasi dengan gambar lama ataupun aset berkaitan kereta api untuk menarik perhatian umum.

"Diharap cadangan ini akan dipertimbangkan oleh pihak berkenaan bagi memastikan anak muda masa kini mengetahui sejarah pembinaan kereta api," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...