TERKINI :

Sunday, September 18, 2016

Jemaah selesai tunai ibadat haji


MAKKAH: Kira-kira dua juta umat Islam seluruh dunia kini selesai menunaikan ibadat haji selepas menamatkan ibadah melontar di tiga jamrat. Hari ini, 13 Zulhijjah mengikut kalendar Islam, semua jemaah selesai melakukan lontaran di Sugra, Wusta dan Kubra. Namun, ada kalangan jemaah lebih awal selesai melakukannya apabila memilih 'nafar awal' iaitu menamatkannya semalam.

Sebahagiannya pula memilih untuk bermabit pada malam 13 Zulhijjah iaitu apa yang dinamakan sebagai 'nafar thani' sebelum menamatkan lontaran di tiga jamrat berkenaan. Kini semua mereka yang bergelar 'haji' dan 'hajah' itu telah kembali ke Makkah dari Mina bagi persiapan pulang ke tanah air. Sebelum meninggalkan Makkah, mereka perlu melakukan tawaf wida di Kaabah iaitu tawaf selamat tinggal. Apabila pulang ke tanah air sudah semestinya jemaah akan membawa seribu kenangan bersama, sepanjang berada lebih 40 hari di tanah suci. Seramai 22,320 jemaah haji negara menunaikan ibadat haji musim ini dengan penerbangan pertama pada 4 Ogos lalu.

Sebanyak 47 penerbangan membawa mereka ke Tanah Suci sama ada terus ke Madinah atau Jeddah. Sebelum menunaikan haji iaitu bermulanya wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah, jemaah lebih awal melakukan ziarah dan umrah. Kerajaan Arab Saudi wajar diberikan penghargaan tertinggi apabila berjaya mengawal pergerakan jemaah dunia dengan begitu lancar sekali. Walaupun kelihatan tegas seperti menguatkuasakan sistem biometrik iaitu pelaksanaan 10 cap jari jemaah dan penguatkuasaan undang-undang lain seperti pemeriksaan di pintu masuk hotel, namun sikap 'lemah lembut' mereka terhadap jemaah haji harus dipuji.

Penguatkuasaan undang-undang itu berikutan insiden kren tumbang dan rempuhan tahun lalu yang mengorbankan ramai nyawa jemaah haji termasuk jemaah negara. Begitu juga kepada lebih 600 petugas Tabung Haji (TH), mereka juga faktor kejayaan pelaksanaan musim haji tahun ini. Walaupun ada beberapa dakwaan dangkal terhadap mereka, tiada siapa yang dapat menafikan kesantunan petugas terhadap Dhuyufurrahman (tetamu Allah) atau jemaah haji.

Memang tepat pengiktirafan kerajaan Arab Saudi terhadap Malaysia melalui TH iaitu agensi terbaik di dunia dalam mengurus jemaah haji. Sepanjang musim ini, hanya 10 jemaah haji negara yang meninggal dunia termasuk seorang ketika di tanah air.

Kini jemaah haji Malaysia sedang menghitung hari untuk pulang bertemu sanak saudara tercinta dengan penerbangan pertama KT02 pada Sabtu ini dan akan tiba di tanah air pada Ahad iaitu jam 11 pagi. Semoga mereka memperoleh haji yang mabrur dan lengkaplah slogan TH iaitu 'Bersama Santuni Dhuyufurrahman dan pulangnya dengan kemabruran'. - BERNAMA

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...