TERKINI :

Saturday, September 3, 2016

Jangan putar belit isu kuota Bumiputera – MB Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SABAK BERNAM, 2 SEPT: Tidak timbul isu pemansuhan kuota Bumiputera bagi pembelian pangsapuri perkhidmatan, rumah pejabat (SOHO) dan pejabat maya di rumah (SOVO) di negeri ini.

Sebaliknya, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Umno sengaja melemparkan tuduhan terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri dengan memutarbelitkan kenyataannya.

“Tidak benar tuduhan Umno bahawa seolah-olah kita menghapuskan harga untuk bumiputera.

“Sehingga saat ini, harga jualan untuk bumiputera itu masih kekal,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Dataran Niaga Bagan Terap dan penyampaian bantuan di bawah Kerajaan Negeri, di sini, pagi ini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, polisi baru Kerajaan Negeri mewajibkan pemaju membina unit mampu milik dalam membina pangsapuri servis bagi membuka peluang kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

“Dalam konteks pembangunan SOHO dan SOVO, harganya terlalu mahal sehingga mencecah RM600,000.

“Tidak mungkin rakyat berpendapatan rendah dan sederhana boleh memiliknya, justeru atas perbincangan bersama Exco, kita bersetuju membuat penyelarasan harga.

“Jadi, tidak timbul isu penghapusan kuota Bumiputera itu,” katanya.

Sebelum ini, wujud dakwaan kononnya Kerajaan Negeri melaksanakan garis panduan pembangunan baru bermula 1 September lalu, yang antara lain memansuhkan 10 peratus diskaun Bumiputera bagi pembelian pangsapuri perkhidmatan, SOHO dan SOVO.

Bagaimanapun, dakwaan itu dibidas Kerajaan Negeri yang menegaskan Selangor hanya menyelaraskan harga pembelian pangsapuri perkhidmatan, SOHO dan SOVO dan tidak timbul isu diskaun Bumiputera dimansuhkan.

-AA-

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...