TERKINI :

Wednesday, September 7, 2016

Jangan pandang rendah parti lawan

Penganalisis Politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Rusdi Omar

KOTA BHARU - Jangan memandang mudah keupayaan parti pembangkang dan rancang strategi bagi menghadapi PRU14 boleh membantu 11 parlimen yang didakwa sebagai kerusi rapuh BN.

Penganalisis Politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Rusdi Omar berkata, situasi tersebut boleh berubah jika parlimen-parlimen yang disenaraikan itu seperti Ketereh dan Machang melakukan kerja dengan lebih berkesan.

“Rata-rata parlimen atau kawasan BN yang dianggap rapuh ini menang kurang dari 1000 undi pada PRU13, sekiranya tersilap strategi serta memandang mudah potensi parti lawan ia boleh memakan diri.

“Walaupun BN mempunyai peluang cerah untuk raih kemenangan di parlimen seperti Machang dan Ketereh pada PRU14 nanti tetapi mereka perlu bekerja kuat. Paling penting mereka (pimpinan) di dua parlimen itu perlu memastikan tiga prinsip asas yang Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi utarakan perlu dilakukan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan berhubung cabaran BN menjelang PRU14 di mana terdapat kerusi-kerusi dalam bahaya jika mengambil sikap sambil lewa.

Tambahnya, antara prinsip asas yang perlu dilakukan pemimpin BN adalah menguatkan parti supaya tidak berlaku ‘cah keting’ dan tidak berpuak-puak dalam kalangan pemimpin.

“Rapatkan saf pimpinan malah rakyat bawahan juga perlu didekati, jika perkara asas seperti ini dilakukan, tidak ada sebab BN tidak boleh kekalkan kemenangan mereka di kedua-dua parlimen itu.

“Pemilihan calon juga boleh memainkan peranan penting sama ada BN atau Umno boleh pertahankan kemenangan, dengan ketokohan dan karisma pemimpin-pemimpin hari ini seperti ahli parlimen Ketereh dan ahli parlimen Machang nampak gayanya kemenangan masih boleh berpihak kepada BN, kerana mereka ini amat dekat di hati rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, walaupun kedua-dua parlimen tersebut dimenangi BN dengan majoriti rendah dalam PRU13 lalu tetapi dengan aktiviti dan program yang telah dilaksanakan ini boleh memenangi hati dan minda rakyat.

“Tidak ada sebab BN tak boleh memenangi hati dan minda rakyat, maka tidak ada sebab BN tak boleh memenangi kedua-dua parlimen ini,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...