TERKINI :

Thursday, September 29, 2016

Jangan kafirkan sesama Islam kerana RUU355

Saya amat sedih mendapati segelintir agamawan di negara ini yang dengan sewenang-wenang mengkafirkan orang Islam hanya kerana mengambil pendirian tidak bersetuju dengan rang undang-undang yang bertujuan memperkasa serta memertabatkan kedudukan Mahkamah Syariah.

Saya tidak menafikan tentang peri pentingnya gagasan  sedemikian dilaksanakan dan justru sepatutnya ia mendapat sokongan semua pihak. Tetapi yang perlu difahami RUU 355 belum lagi dimuktamadkan dan hanya akan dibentangkan oleh Ahli Yang Berhormat Marang di Parlimen yang akan mulai bersidang pada pertengahan bulan Oktober ini.

Biarlah ia dibincang terlebih dahulu dengan teliti dari pelbagai aspek oleh pihak legislatif dengan tujuan penambahbaikan.  Moga-moga dengan perbahasan yang bebas akan menghasilkan satu undang-undang  yg adil untuk dilaksanakan ke atas seluruh warganegara.

Kita tidak wajar memaksa mana-mana ahli Parlimen menerima RUU 355 dengan apa jua cara termasuk mengugut kononnya sesiapa tidak menyokong akan menjejaskan akidah!

Memang seorang Muslim wajib menerima hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT. yang sakral. *Tetapi RUU 355 bukan hukum Allah SWT* . Ini hanya merupakan satu langkah ke arah memperkasa dan memertabatkan Mahkamah Syariah di Malaysia yang akan dibentangkan nanti. Kemungkinan wujud kekurangan dan kelemahan tertentu di dalam RUU teresbut yang perlu diperbaiki sebelum dijadikan undang-undang.

Sebaiknya pihak kerajaan sendiri mengambil daya usaha membentangkannya seperti sebelum ini supaya kelihatan lebih serius dan tidak dilihat sebagai gimik politik semata-mata.

DATO' DR WAN SALIM WAN MOHD NOOR
MUFTI PULAU PINANG

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...