TERKINI :

Friday, September 2, 2016

IGP: Apa nak sibuk suruh polis siasat itu ini

Pengesahan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ialah Malaysian Official 1 (MO1) mengundang persoalan baru berkaitan perkembangan lanjut isu itu.

Ini termasuk sama ada polis akan memulakan siasatan baru terhadapnya yang disebut berkali-kali dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ), Amerika Syarikat (AS) untuk menyita aset berkaitan 1MDB.

Berdepan soalan itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar meminta pasukan keselamatan tidak diheret ke kancah politik.

Beliau malah menegaskan apa yang berlaku di AS adalah tindakan sivil dan polis tidak akan campur tangan.

“Biarlah mereka selesaikan tindakan sivil itu.

“Apa nak sibuk-sibuk sangat hendak suruh polis siasat itu ini sebagainya,” katanya.

Dalam sidang media di ibu pejabat polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, Khalid berkata polis akan menumpukan terhadap siasatan yang dibuat mereka selama ini.

Jaringan media British BBC semalam melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan sebagai mengesahkan MO1 adalah Najib.

Beliau dilaporkan sebagai berkata “jelas sekali jika kamu membaca dokumen berkenaan, ia adalah perdana menteri".

Pengarah strategi BN itu berkata DOJ tidak menyebut nama sebenar kerana Najib bukan sebahagian daripada siasatan.

Sementara itu, diminta mengulas fasa kedua siasatan terhadap 1MDB, Khalid berkata kertas siasatan telah dikembalikan dan peguam negara (AG) mengarahkan beberapa perkara lain.

“Jadi, kita akan ambil tindakan-tindakan yang telah diarahkan.

“Selepas itu kita akan lapor balik semula kepada AG,” katanya.

Khalid pada 22 Ogos lalu berkata fasa pertama siasatan mereka ke atas 1MDB telah siap dan ia terhad kepada lima cadangan oleh PAC sebagaimana yang diarahkan kabinet.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...