TERKINI :

Thursday, September 1, 2016

Husam selamat berjuang, jangan menangis lagi


ULASAN
Mohamad menebeng sorang keahlian Husam.
Sebelum berlangsung ucapan pada majlis makan malam bersama Husam Musa malam tadi sempena pengumumannya menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH), saya sempat berjumpa dengan bekas Naib Presiden Pas itu. Beliau duduk semeja dengan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, timbalannya Salahuddin Ayub, Naibnya Dr Hasanuddin, Setiausaha Agung Mohd Anuar Tahir, Dr Mohd Hatta Ramli, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin dan beberapa yang lain.

Turut sama merai penyertaan Husam ke dalam AMANAH ialah Ahli Parlimen Seputih Teresa Kok.

Saat bersalaman dengannya saya membisikkan kepadanya dengan nada bercanda; "malam ini bukan malam untuk Husam manangis sekali lagi."

Husam menggengam erat tangan saya dengan tersenyum lebar sambil merenungi seluruh diri saya. Dia memahami maksud dan kata hati saya. "Sihat?" tanya beliau kepada saya cuba mengalihkan tumpuan. Saya menentang ke matanya lama-lama, begitu juga beliau, kami saling membalas senyum dan hati berbicara dengan bahasanya tersendiri.
Husam berucap mengistyharkan sertai Amanah.
Senyuman yang dilemparkan Husam bukan sahaja untuk saya, tetapi untuk semua yang berada di situ. Senyuman dan hilai kecilnya ki..ki..ki menyakinkan semua orang; bahawa beliau benar-benar bersedia untuk mengucap selamat tinggal secara mutlak kepada Pas selepas parti itu memecatnya.
Isteri Husam (tengah) dan ibu mertuanya turut hadir. 
Pimpinan yang lain dimeja itu juga turut tersenyum lebar dan bangga. Demikian juga wajah-wajah yang berada di dalam restoran itu semua ceria, gembira dan bahagia. Semuanya kerana majlis malam tadi, pengistyharan Husam menyertai AMANAH. Betapa tidak sesudah kesekian lama orang ramai khasnya peminat dan pengkagumnya menunggu sosok itu akhirnya dia memenuhinya juga harapan itu. Doa awam, khasnya mereka yang kecewa dengan parti agama termakhbul juga akhirnya.

Selepas bersalaman saya beralih ke meja terpojok, duduk bersama rakan-rakan lama dari Kelantan antaranya Rushdan Mustapa, Mohamad Hussein, Wan Johari dan lain yang sanggup datang dari jauh semata-mata merai dan memberi sokongan kepada Husam.

(Meja yang saya tempah tidak pula kelihatan. Mungkin dipenuhi atau pun terjual double kerana sambutan majlis makan malam tadi hangat dan meriah sekali). Semua meja dalam restoran itu penuh dengan para tetamu. Begitu juga di luar di sepanjang kaki lima, kiri kanan restoran itu penuh dengan orang ramai. Tidak cukup kerusi dan bangku disediakan orang ramai rela duduk dilantai dan berdiri.

Sekilas melihat suasana malam tadi teringat kepada peristiwa semasa Husam menjadi calon di Putrajaya dalam pilihan raya 2013 lepas, bagai mana beliau diberikan sambutan dan sokongan padu oleh anak-anak muda dan penduduk Putrajaya. Orang ramai datang berpusu-pusu dan memenuhi Putrajaya sepanjang kempen kerana memberi sokongan dan dokongan kepada Husam. Kehadiran Husam di situ waktu itu berjaya membentuk satu auara dan gelombang buat Pas Kelantan terus menguasai negeri berkenaan.

Kehadiran malam tadi di luar jangka sehinggakan makanan dan hidangan disediakan tidak mencukupi. Pihak penganjur tidak menduga majlis mendapat sambutan dan itu secara tidak langsung memberi indiktaor bahawa AMANAH sudah semakin diterima umum.

Saya tahu mereka datang bukan sangat untuk makan, tetapi menyaksikan peristiwa penting dan melihat sebuah perjalanan politik seorang maskulin bernama Husam Musa. Ternyata penyertaan Husam ke dalam AMANAH sudah ditunggu-tunggu begitu lama sangat dialu-alukan. Mereka yang mempercayai kepada kebolehan Husam yakin dengan penyertaanya AMANAH akan telah mendapat pemikir yang bakal meletakkan parti itu menjadi parti Islam progresif dan menjadi parti alternatif di hari-hari muka. Kehadiran Husam dalam parti itu melengkapkan organ kepimpinan AMANAH itu sendiri.

Husam mengambil masa agak panjang sebelum membuat keputusan bersama AMANAH. Beliau memberi masa bertenang selama empat bulan. Ketelitian Husam itu menyebabkan setengah orang sudah naik bosan dengan beliau atau hilang sabar menunggunya untuk bergabung dalam AMANAH.

Bagi sesiapa yang mengetahui denyut nadi perjuangan Putra Tuan Guru Musa ini, mungkin tidak akan berasa pelik dengan tindakannya itu. Husam bukan seorang yang tergesa-gesa dalam tindak tanduknya. Dia berbuat sesuatu dengan berfikir panjang dan penuh perhitungan. Saat rakan-rakan "sekalah" dengannya dalam muktamar Pas berhimpun, berjumpa untuk mencari resolusi bagi menentukan hala tuju perjuangan dan merangka wadah baharu AMANAH, beliau masih menompang dagu, mengimbau kepada sejarah manis dan duka berdekad bersama Pas.
Sebahagian yang hadir memenuhi kaki lima.
Husam bukan tidak tersentuh dengan tindakan segera dan pantas kekawannya yang kesal dan kecewa dengan apa dilakukan kepada mereka oleh bekas rakan-rakan dalam Pas. Dia bukan tidak marah dan simpati atas cacian dan lemparan kata-kata kesat kepada rakan-rakan "sekalah" denganya itu. Terasa, namun beliau menahankan sabar dan gelora dalam jiwa. Husam mengambil langkah bertenang dan cuba menjadi lelaki dewasa mencari titik dan ikhtiar apakah parti yang dikashinya itu masih boleh diselamatkan.

Sayang usahanya tidak membuahkan hasil. Gelodak kemarahan dan kebencian segelintir orang dalam Pas kepadanya terus meruap. Mereka yang benci dan dengki kepadanya terus mengadu dombakan pimpinan teratas demi melihat beliau terkanjar daripada Pas. Dalam pada itu pimpinan yang diharap memberikan beliau secebis kasih sayang dan peluang untuk bersama Pas bagi meneruskan legasi murabbinya juga memandang picing kepadanya. Atas asakan dan cocokan orang-orang yang dengki dan iri kepadanya akhir Jawatankuasa Disiplin parti mengambil keputusan memecatnya secara kejam.

Di sini saya tidak mahu ulangi tindakan pemecatan bekas Exco Kanan Kerajaan Pas Kelantan itu sama ada betul atau tidak. Keputusan telah dibuat dan usaha juga telah dilakukan bagi menyelamatkan Husam agar terus kekal dalam kapal Pas, tetapi semuanya tidak berhasil. Prejudis kepada Husam yang dibajai dengan rasa kebencian dan dengki sangat menebal sekali.

Mungkin ada orang pertikai kenapa Husam tidak merayu pemecatannya itu? Husam ada jawaban dan makrifat tersendiri mengenainya. Mungkin dia sudah dapat membaca kandatipun dia merayu, rayuannya tidak diendakkan. Pemecatan itu menjadi satu pesta kepada sesetengah orang dalam Pas dan pesta itu tidak pun dikesali langsung. Keputusan memecat Husam dilaksanakan di rumah seorang pemimpin yang kesekian lama berdendam dan bersalah sangka terhadap Husam. Kenapa sampai begitu sekali? Apakah semua perbuatan dan tindakan itu terelak dari dihisab di Mahsyar?

Tindakan Husam itu perlu dihormati dan keyakinan ia dibuat setelah memikirknya semasak mungkin. Sepotong ayat Husam dalam satu kenyataanya sebelum pengistyharan dibuat boleh dijadikan renungan atau pun jawaban ke atas tindakan yang penuh dramatik itu.

Kata Husam; "Wadah yang saya harapkan dahulu seakan telah terjual. Tertambat dengan kejumudan tanpa inovasi, takwilan nas di luar revelensi, pelebelan dan syok sendiri, membelakangkan budaya argumentasi tetapi mengutamakan emosi, laungan tidak sama dengan aksi, terikat dengan umpan politik lawan dan gagal menerapkan agenda perjuangan yang luas meliputi."

Apabila dipecat daripada Pas sedangkan Husam adalah masih singa yang kuat dan tangkas berlari, dia memerlukan padang dan rimba untuk meneruskan larian kehidupan dan melakari lekuk perjuangannya. Seperti mana katanya terfikir olehnya untuk berihat terus dari berlari dalam perjuangan. Namun kerana cara itu bukan lumrah bagi sang singa raja juang, maka beliau perlu menerokai belantara dan pandang baharu. Perjuangan membela rakyat perlu diteruskan. Sikap, alqa'idun bukan baik bahkan haram bagi seorang berjiwa pejuang seperti beliau. 

Dari celah kesedihan dan kekecewaaan itulah, akhirnya beliau memilih AMANAH sebagai wadah perjuangannya. Dan malam tadi bertempat di Cyberjaya, Husam dengan rasmi telah mengistyharkan dirinya sebagai anggota AMANAH di hadapan ribuan penyokongnya dengan disaksi sama oleh isterinya Rohana Abdul Rahman dan ibu mertuanya. Ertinya beliau telah menyerahkan dirinya kepada belantara dan padang AMANAH untuk sama-sama berlari dengan kekawan lain demi meneruskan perjuangan.

Iya, kalau sebelum ini orang berkeluh kesah dengan kelambatan Husam menyertai AMANAH, ada yang menyifatkan beliau sudah terlewat dan ada pula seakan tidak sabar untuk melihat Husam memegang panji AMANAH; nah, hari ini Husam sudah berada di situ. Hari ini adalah giliran mereka yang yakin kepadanya sayang kepadanya dan berasakan beliau layak dan tanggung sebagai seorang pemimpin, sokonglah Husam.

Semua orang yang menyayangi dan mempercayai perlu bertanggungjawab kepada pemilihan yang dibuatnya itu. Ingat Husam bersendirian tidak mampu mengocakkan rimba perjuangan itu atau menjejaki ke segenap padang perjuangan melainkan ianya disambut semua tangan-tangan dan diinjeak semua kaki-kaki orang yang berharapkan kepadanya, baharulah keberertian penyertaan Husam ke dalam rimba perjuangan itu bermakna.

Husam kini sudah terlepas ke dalam belantara baharu bernama AMANAH. Keterlepasan Husam itu bermakna hilanglah langkah dan kelibatnya dalam Pas walaupun jejak jasanya masih ada. Kepada orang-orang Pas sama ada yang menyesali atau marahkan Husam, redhalah dengan apa yang berlaku. Biarlah Husam berlalu tenang ke rimba baharu itu. Sama ada beliau dapat survive atau tidak, untuk sebuah kehidupan dan perjuangan ianya berada dalam ketentuan Allah Rabul Jalil. Sesungguhnya Allah adalah Tuhan seru sekalian alam maha adil dan Ianya kepunyaan semua makhluk.

Husam selamat berjuang dan jangan menangis lagi. [wm.kl.3:43 pm 31/08/16]
 

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...