TERKINI :

Tuesday, September 13, 2016

DRB-Hicom hadiah pakej umrah kepada 3 wira paralimpik dan ibu bapa

drb-hicom

PETALING JAYA: Selain ganjaran wang tunai, kereta, rumah dan penerbangan percuma seumur hidup, tiga pemenang pingat emas di Sukan Paralimpik Rio kini berpeluang mengerjakan umrah bersama ibu bapa mereka.

Ganjaran terbaharu itu diumumkan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar semalam.

"Dengan keazaman dan keberanian sebenar, hero kita membawa pulang tiga pingat emas menakjubkan buat Malaysia. Tidak pernah terfikir kita akan mendengar Negaraku dimainkan pada pentas tertinggi itu.

"Kami semua berbangga dengan mereka dan pengorbanan dilakukan. Dengan itu, DRB-Hicom berbesar hati menghadiahkan hero kita untuk mengerjakan umrah," katanya dalam satu kenyataan yang dipetik Berita Harian Online.

Setakat ini, Malaysia mengumpul tiga pingat emas yang disumbangkan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36 (celebral palsy), Muhammad Ziyad Zolkefli menerusi acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) serta Abdul Latif Romly melalui acara lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran), sejak Sabtu lalu.

Lebih manis apabila tiga atlet paralimpik itu turut memecahkan rekod kejohanan dan dunia.

Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengesahkan pemenang pingat emas di Sukan Paralimpik Rio akan menerima ganjaran wang tunai RM1 juta dan pencen bulanan RM5,000 seperti yang ditawarkan kerajaan kepada atlet Olimpik sebelum ini.

Di bawah skim insentif Majlis Sukan Negara (MSN) untuk Olimpik, pemenang pingat perak akan mendapat RM300,000 dan pencen bulanan RM3,000 manakala gangsa menerima RM100,000 serta pencen bulanan RM2,000.

Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Naza Corporation Holdings, SM Nasarudin SM Nasimuddin pula mengumumkan hadiah seunit kediaman suite dan kenderaan SUV Kia Sportage kepada pemenang pingat emas negara di Paralimpik Rio.

Ia disusuli Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, pada Ahad lalu, mengumumkan penerbangan percuma sepanjang hayat kepada tiga wira paralimpik negara yang berjaya menyumbang tiga pingat emas dalam tempoh 24 jam.


No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...