TERKINI :

Thursday, September 8, 2016

Dr Mujahid kunjungi pejabat Mufti jelaskan teguran

 Dr Mujahid menyerahkan tulisannya kepada Khairol yang mewakili Mufti Wilayah Persekutuan
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Dr Mujahid Yusuf Rawa menyerahkan artikel setebal sebelas muka surat ke pejabat Mufti Wilayah Persekutuan hari ini.

Artikel itu merupakan penjelasan beliau mengenai tegurannya ke atas tulisan Mufti Wilayah, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berhubung Rang Undang-undang (RUU) 355.

Ia sekaligus menafikan dakwaan bahawa beliau menyanggah pendapat Dr Zulkifli agar semua ahli Parlimen khususnya yang beragama Islam menyokong RUU 355 yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat, Oktober ini.

Seruan itu dipetik dari tulisan terbaharu Dr Zulkifli dalam Bayan Linnas bertajuk ‘Isu Cadangan Pindaan Akta 355: Satu Pendapat’ di portal rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Dr Mujahid menjelaskan tegurannya mengenai tulisan Mufti Wilayah Persekutuan kepada Umar Mokhtar.Artikel tersebut diserahkan kepada pegawai hal ehwal Islam MAIWP, Umar Mokhtar Mohd Noor dalam pertemuan dan sesi dialog pagi tadi.

Pertemuan turut disertai naib ketua pemuda Amanah Nasional Shazni Munir Mohd Ithnin, pengarah komunikasi Khairol Najib Hashim dan ketua Wanita Muda Amanah Nasional Anis Afida Mohd Azli.

"Saya katakan tadi saya tak dapat memenuhi saranan mufti kerana RUU itu belum dibahas.

"Pertemuan hari ini berjaya, mesra dan penuh kasih sayang serta Amanah dapat memberikan penerangan kepada pihak mufti," katanya yang sebelum ini dikecam sesetengah pihak kerana teguran itu.

Mujahid yang juga ahli Parlimen Parit Buntar mengambil inisiatif untuk membuat teguran atas semangat demokrasi dan kebebasan bersuara dan terpulang kepada pihak mufti untuk tindakan lanjut.

"Kami sekadar menegur dan terpulang kepada pihak mufti sebagai institusi agama untuk menerima atau tidak.

"Saya perlu menjelaskan persepsi dan saya harap kita dapat membudayakan lagi perbincangan," katanya kepada pemberita selepas pertemuan.

Dr Zulkifli bagaimanapun tidak dapat hadir dalam pertemuan itu kerana bertolak ke Tanah Suci untuk mengerjakan haji malam tadi.

Sementara itu Shazni berkata, beliau berasa gembira jika Pas khususnya presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga ahli Parlimen Marang memberikan perincian mengenai RUU untuk memperkasa mahkamah syariah.

"Kami berbesar hati jika Marang boleh tampil untuk berdepan dengan anak muda tentang usul yang dibentangkan," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...