TERKINI :

Monday, September 5, 2016

Dr Mahathir hadir beri sokongan kepada Anwar


mahathir-lawat-anwar

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini tampil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menunjukkan sokongan kepada bekas timbalan beliau Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memfailkan saman menghalang penguatkuasaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Kehadiran mengejut Dr Mahathir pada 2.45 petang merupakan pertama kali bekas timbalan perdana menteri itu menonjolkan sokongan terbuka kepada Anwar, genap 18 tahun dan 3 hari selepas dipecat sebagai timbalan perdana menteri.

Anwar dipecat pada 2 September, 1998 selepas dituduh menyalah guna kuasa dan salah laku seks. Pemecatan beliau mencetuskan demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur.

Dr Mahathir hari ini ditemani Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali, ahli Parlimen PKR Tian Chua dan Zuraida Kamaruddin dan bekas naib ketua cawangan Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Turut hadir ialah barisan peguam PKR, N. Surendren dan Latheefa Koya, di samping peguam Melissa Sasidaran, Eric Paulsen dan aktivis Datuk Ambiga Sreenevasan.

Anwar, 68, yang kini menjalani hukuman penjara 5 tahun, mendakwa Akta MKN 2016 tidak berperlembagaan dan tidak sah kerana ia dikuatkuasakan menurut Fasal 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menuntut deklarasi Akta MKN tidak berperlembagaan dan terbatal serta perintah injunksi menghalang penguatkuasaan MKN.

Akta MKN yang berkuat kuasa pada 1 Ogos lalu antara lain memberikan kuasa kepada perdana menteri menetapkan sesuatu kawasan sebagai “kawasan keselamatan” di mana beliau boleh membenarkan pasukan keselamatan memeriksa mana-mana individu, kenderaan atau bangunan tanpa memerlukan waran.

Ia juga membenarkan penyiasat mengabaikan sebarang penyiasatan formal berhubung pembunuhan dilakukan polis atau tentera di dalam sesuatu “kawasan keselamatan”.

Akta itu diluluskan tanpa mendapat perkenan Yang DiPertuan Agong, walaupun istana pernah mencadangkan beberapa perubahan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...