TERKINI :

Thursday, September 8, 2016

Darihal derma RM90 juta Umno pada PAS?

SUBKY LATIF | 07 September 2016.

DUIT RM2.6 bilion yang pernah didepositkan dalam akaun bank PM Najib adalah derma untuk Umno tetapi tidak diketahui Umno sempat rasa derma itu atau tidak kerana ia dikatakan sudah dipulangkan Najib kepada pendermanya.
     
Kisah itu terus jadi cerita dongeng seperti Haji Bakhil yang pacak papan tanda beritahu dia tidak tanam hartanya ditempat papan tanda itu dipacak. Dan si fulan yang larikan harta itu pacak pula papan tanda baru bagitahu Si fulan tidak ambil harta itu. Jika dunia tidak kiamat 200 tahun lagi derma RM2.6 bilion itu akan jadi dongeng seperti Haji Bakhil juga.
     
Maka sekarang selepas Umno terima derma RM2.6 bilion, maka didongengkan pula PAS diberi RM90 juta oleh Najib. Bahasa baik yang saya suka gunakan tentang duit RM90 juta itu ialah derma Umno atau Najib kepada PAS.
     
Itulah yang dirasakan dongeng yang Sarawak Report laporkan dan PAS sifatkan sebagai fitnah yang PAS umumkan akan failkan saman kepada Sarawak Report melalui mahkamah England.
     
Ketika komen ini dibuat, reaksi Sarawak Report belum tarik balik laporan itu tetapi tidak pula beri ia ada bukti kukuh tentang  dongeng itu.
     
Sementara kes ini belum lagi jadi kes mahkamah, komen saya ialah satu sekatan politik yang mahu meruntuhkan wibawa politik PAS yang terkenal sejak dari mula sebagai parti yang berdikari atas duit yang ada dalam poket baju/seluar ahl-ahli dan penyokongnya.
    
Jika dikatakan dana PAS adalah atas derma para dermawan, maka dermawan itu adalah ahli dan penyokongnya.
    
Ketika saya ditanya oleh pelajar Malaysia di Mesir lebih 30 tahun lalu, dari mana PAS dapat dana bagi membiayai perjuangannya, saya jawab ia tersimpan dalam saku baju dan seluar ahlinya. Apabila PAS perlukan duit itu ia sebutkan kepada ahli-alinya dan mereka pun keluarkan dari saku masing-masing.
     
Almarhum Ustaz Fadzil Noor sebut dalam ceramah tentang duit PAS yang saya sebut di Mesir itu, semuanya disimpan dalam saku baju ahli-ahlinya.
     
Jika ada yang hendak menderma RM90 juta, PAS tidak akan berani terima jika ada yang hendak menyampaikan baik secara terang atau secara sulit. Bukanlah manusia PAS tidak ada nafsu keinginan kepada duit yang banyak, tetapi hingga setakat ini mereka dapat mengawal hawa nafsu.
    
Jika ia gagal mengekang hawa nafsunya, maka nescaya hanyut perjuangannya yang suci dan mulia itu. Mulianya PAS bukan kerana lambakan duit yang banyak, tetapi adalah atas perjuangannya yang suci yang berpaksi atas sokongan ahli-ahli yang mustadafin. Ia mengausai Kelantan dan pernah menguasai Kedah dan Terengganu, bukan kerana hujan dan salji duit dari langit, bahkan ia merebut kuasa itu dari Umno yang memiliki duit berguni-guni.
    
Itulah memalukan parti dan pemimpin yang siang malam berselimut duit.
     
Jika ada orang yang hendak menderma RM90 juta, mungkin limpahan daripada derma RM2.6 bilion yang tidak tahu macam mana ia hendak dibelanja, maka jangan beri terus kepada mana-mana pemimpin atau jangan masukkan ke dalam mana-mana akaun bank secara sulit dan secara terang tetapi ambil peluang semasa PAS melancarkan pungutan derma kilat dalam ceramah-cemahnya.
     
Masukkan senyap-senyap duit tunai yang ada di tangan petugas pungutan derma itu. Derma yang berpahala dan besar pula wajar dibuat secara senyap, biar tangan kanan yang memberi tidak diketahui oleh tangan kiri.
     
Keterlanjuran report dari Sarawak itu tanda ia dungu dengan maruah PAS dan untuk kemahuan siapa ia buat dongeng itu? – HARAKAHDAILY 7/9/2016

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...