TERKINI :

Friday, September 23, 2016

BERSATU saran pembangkang bentuk barisan alternatif guna satu logo



Bagi berdepan dengan Umno-BN dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bakal mengesyorkan kepada parti pembangkang untuk membentuk satu barisan alternatif.

Naib Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata barisan alternatif menyerupai parti kompenan BN yang bernaung di bawah satu logo.

Mukhriz yang juga bekas menteri besar Kedah berkata, perkara tersebut akan disuarakan kepada ketua-ketua parti dalam masa terdekat.

"Satu lawan satu sangat penting dalam PRU14. Apa yang kami cadangkan... ini peringkat cadangan, insya-Allah Tun Mahathir Mohamad (pengerusi BERSATU) akan bincang dengan ketua-ketua parti agar wujudkan satu gabungan untuk semua parti pembangkang.

"Macam BN ada 14 parti di dalamnya. Dalam media sosial mereka cadangkan Barisan Rakyat (BR). Tak tahulah nama itu diterima atau tidak," kata Mukhriz.

Ahli parlimen Jerlun itu berkata demikian ketika sesi dialog Malaysia Bersatu bersama Mukhriz Mahathir di Shah Alam, malam tadi.

Terdahulu, lebih 100 anggota Umno cawangan dari bahagian Serdang, Kapar dan kota Damansara mengumumkan keluar parti dan menyertai BERSATU malam tadi.

Mengulas lanjut Mukhriz berkata gabungan itu penting supaya semua parti pembangkang bertanding melawan BN dengan satu logo, selain ia juga tidak akan mengelirukan pengundi.

Bagaimanapun, ketika disoal sejauh mana penyertaan PAS dalam gabungan itu, Mukhriz menjawab ia merupakan satu persoalan terbesar.

"Itu persoalan yang besar. Bayangkanlah kita ada BN lawan BR, tiba-tiba ada parti bulan (PAS), nampak sangatlah dia tak bersama dan dia menjadi faktor ketiga.

"Kita tanpa berniat untuk menyinggung kawan-kawan di dalam PAS dan Tun Mahathir pun pernah katakan sesiapa pun yang mengakibatkan (pertandingan) tiga penjuru dalam pilihan raya, dialah yang mahu Najib Razak kekal sebagai PM," kata Mukhriz.

Justeru, kata Mukhriz, bagi mengelak BN terus-menerus menang mudah dalam pilihan raya akan datang, adalah lebih baik untuk BERSATU berusaha memastikan PAS bersama dengan mereka menentang parti pemerintah sedia ada.

"Jadi, ini kita kena faham sebab kita pun dah tengok ada track rekod bila (pertandingan) tiga penjuru, kebanyakannya BN akan menang dan bila BN menang, Najib Razak kekal sebagai PM.

"Jadi, ini yang kita tak nak dan bila kita tak nak, biarlah kita berusaha yang bertanding nanti BN dengan BR sahaja," kata Mukhriz.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...