TERKINI :

Thursday, September 29, 2016

Bersatu perlu kerja keras jika mahu Muhyiddin jadi PM

Wong Chen

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) perlu bekerja keras dan memenangi lebih banyak kerusi pada PRU 14 akan datang sekiranya menginginkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri selepas ini.

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen berkata, pemilihan Perdana Menteri bukannya ditentukan oleh Pakatan Harapan mahupun Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad, namun ia dipilih melalui konvensyen Parlimen.

"Calon yang akan dipilih adalah dari parti atau gabungan parti yang menang majoriti kerusi dalam PRU akan datang.

"Pendek kata, orang yang dapat sokongan paling banyak daripada ahli Parlimen akan menjadi Perdana Menteri," katanya menerusi kemas kini status di laman Facebooknya hari ini.

Bercakap di London minggu lalu, Mahathir memberi bayangan bahawa kemungkinan Muhyiddin akan dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya menang dalam PRU akan datang.

Dalam pada itu, Wong Chen berkata, kedudukan semasa Pakatan Harapan pada masa ini adalah jelas bagi menjadikan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya berjaya menawan Putrajaya.

"Bolehkan Anwar menjadi Perdana Menteri?

"Sudah tentu akan ada Perdana Menteri interim atau sementara semasa peralihan bagi membolehkan Anwar menjadi Perdana Menteri," katanya.

Selain itu, Wong Chen yang juga merupakan Pengerusi Biro Perdagangan dan Pelaburan PKR berkata, beliau telah beberapa kali memaklumkan supaya Bersatu dapat mengeluarkan dasar mereka secepat mungkin.

Beliau berkata, Bersatu boleh mendapatkan pandangan daripada NGO yang menyokong parti itu bagi mengeluarkan dasar mereka sendiri selepas ini.

"Jika tidak, usaha mereka untuk menaikkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri tidak akan memberi inspirasi kepada orang ramai," katanya.


No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...