TERKINI :

Saturday, September 3, 2016

Bersatu dakwa RoS lulus parti 9 September

Muhyiddin serah borang pendaftaran Parti Bersatu

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) bakal meluluskan permohonan pendaftaran parti itu selewat-lewatnya 9 September ini.

Setiausaha Penajanya, Kamarulazman Habibur Rahman berkata, dalam pertemuan semalam, RoS memaklumkan kepada Presiden Penaja Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pihaknya tiada alasan untuk melengahkan kelulusan permohonan tersebut.

"Ini adalah kerana kita telah menepati segala kehendak dan syarat yang telah ditetapkan dalam permohonan bagi penubuhan sesebuah parti politik baru.

[ARTIKEL BERKAITAN: Daftar ahli Bersatu, tunggu ROS lulus]

"Pihak RoS menjelaskan bahawa pihak mereka tiada sebarang halangan tentang tarikh tersebut memandangkan permohonan kita telah dikemukakan dengan kemas, lengkap dan tersusun bagi permohonan sesebuah parti politik baru," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 9 Ogos lalu, Muhyiddin menghantar permohonan pendaftaran parti baharu itu di pejabat RoS di Putrajaya.

Dalam pada itu, menurut Kamarulazman, wakil RoS berpuas hati dengan usaha dilakukan pihaknya dalam melaksanakan perubahan yang perlu terhadap segala teguran dan cadangan RoS.

"Kita mengharapkan tiada lagi sebarang halangan bagi kelulusan penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia selaras dengan kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri bahawa permohonan ini akan diluluskan tanpa sebarang masalah," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...