TERKINI :

Tuesday, September 20, 2016

Benarkah PAS akan tempang tanpa Dato' Harun Din..??

http://www.cikguazli.com/blog/wp-content/uploads/2015/03/datuk-dr-haron-din-1.jpg

Tidak dapat dielakkan bahawa PAS akan ‘tempang’ tanpa Dato Harun Din. Mahu tak mahu kepimpinan PAS terpaksa mengakui keadaan ini. Ini bukan soal ‘patah tumbuh hilang berganti’. Tidak ada siapa dalam barisan kepimpinan PAS kini yang dapat menggantikan peranan yang dimainkan oleh Dato Harun Din. Ini merupakan cakap-cakap yang berlegar dikalangan ahli PAS kini.

Pemergian TG Nik Aziz dirasakan kehilangannya oleh ahli PAS tetapi ada ‘lapik-liang’nya ia itu Dato Harun Din. Antara kedua-dua tokoh yang telah meninggalkan kita ini, tidak banyak perbezaan antara satu dengan yang lain, malah boleh bertukar ganti antara satu dengan yang lain. Tetapi pemergian Dato Harun Din tidak ada penggantinya. Dato Ahmad Yaakub yang kini memangku tugas berkenaan ibarat ‘jauh panggang dari api’.

Ramai yang mengatakan tidak ada tokoh yang boleh menggantikan Dato Harun Din yang disegani oleh pihak kawan dan lawan. Dan kesan daripada pemergian tokoh yang disayangi ini ialah akan kelihatan penghijrahan beramai-ramai ahli PAS keluar daripada parti berkenaan. Apatah lagi apabila Amanah sudah sedia menunggu kedatangan golongan ‘imigran’ yang semacam menunggu masa dan ketika untuk ‘berhijrah’.

Tidak ada kuasa yang dapat menahan fenomena berkenaan kecuali menyediakan seberapa banyak ‘dedak’ sebagaimana yang dilakukan oleh UMNO untuk menyekat ahlinya meninggalkan parti berkenaan secara beramai-ramai. Dapatkah kepimpinan PAS melakukan apa yang dilakukan oleh UMNO. Ini persoalan yang perlu difikirkan oleh kepimpinan PAS.

Persoalan yang dihadapi oleh PAS kini adalah juga merupakan persoalan ‘pull’ and ‘push factor’. Pemergian Dato Harun Din adalah antara ‘push factor’ yang menolak ahli PAS meninggalkan parti berkenaan, yang mana ramai yang merasakan bahawa kepimpinan PAS kini tidak diyakini oleh kebanyakan ahli untuk membawa perjuangan PAS menempuh Kurun ke 21.

Ramai yang merasakan bahawa kepimpinan PAS kini adalah merupakan kepimpinan ‘cara lama’, cara lapuk. Ini disuarakan oleh golongan muda yang mahukan satu perubahan drastik, satu perubahan kepimpinan mengikut arus zaman. PAS sepatutnya mengorak langkah dan kreatif dalam melayarkan ‘bahtera’ PAS mengikut acuan Kurun ke 21. Apa yang telah dilakukan oleh TG Nik Aziz dulu, ia itu dengan mengembelingkan tenaga professional dan ulamak adalah merupakan acuan yang amat sesuai. Tetapi dengan kegolojohan setengah kepimpinan yang tidak dapat memikirkan tentang rentak dan gaya kepimpinan Kurun ke 21 telah menyebabkan PAS ketinggalan zaman.

Untuk menambah kekacauan dalam kepimpinan PAS, kelihatan pula ‘kekacauan’ dalam tindak tanduk pemimpin PAS yang sudah tidak ketahuan hala tuju parti berkenaan. Rakyat sedang ‘membaca’ langkah kepimpinan PAS dan sedang memerhati juga ‘sepak-terajang’ kepimpinan PAS.

Kepimpinan PAS kini semacam dalam keadaan ‘dilemma’ dan ‘kacau-kena’ (loghat Perak)… Agaknya ler…

abuhassanadam

18 September 2016

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...