TERKINI :

Thursday, September 29, 2016

Bahaya buang puntung rokok di tengah jalan raya

Puntung rokok

SIKAP segelintir pemandu jalan raya yang suka membuang sampah di tengah jalan raya ternyata suatu perkara yang amat mendukacitakan, bahkan membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Perkara tersebut menjadi lebih membahayakan apabila sampah yang dibuang itu adalah puntung rokok kerana risiko bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain menjadi lebih tinggi.

Bayangkan, sekiranya terdapat satu keadaan di mana pengguna jalan raya lain menghadapi masalah kebocoran minyak di mana-mana bahagian kenderaannya dan dalam masa sama ada pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab membuang puntung rokok menghampiri kenderaan yang dipandu olehnya.

Maka kebarangkalian tinggi kebakaran besar boleh berlaku di tengah jalan raya.

Sekiranya dirujuk kepada negara jiran seperti Singapura, pelaksanaan undang-undang terhadap mana-mana individu yang membuang sampah secara sesuka hati ternyata suatu hal yang amat baik telah dilaksanakan oleh negara tersebut (seperti membuang sampah keluar dari tingkap kereta di tengah jalan).

Penggunaan sistem pemantauan di tengah jalan raya ternyata suatu hal yang "menggerunkan" di negara tersebut kerana sekiranya berlaku "jenayah" pembuangan sampah di tengah jalan raya oleh mana-mana pengguna jalan raya, maka mereka boleh dikenakan hukuman seperti denda dan perlu melaksanakan aktiviti kemasyarakatan.

Senario ini membawa satu cadangan yang boleh dilontarkan kepada pihak kerajaan Malaysia iaitu menguatkuasakan undang-undang khas terhadap kesalahan membuang puntung rokok di tengah jalan raya seperti mengenakan saman, denda ataupun hukuman-hukuman lebih berat akibat sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengguna ini yang boleh membahayakan pengguna jalan raya.

Sekiranya perkara ini dilaksanakan, maka kebarangkalian tinggi isu pembuangan puntung rokok di tengah jalan raya oleh segelintir pengguna yang tidak bertanggungjawab ini dapat dikurangkan dari semasa ke semasa.

Malah, pihak kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga sebenarnya boleh melaksanakan kempen media dalam memberikan kesedaran tentang bahaya isu pembuangan puntung rokok di tengah jalan raya ini.

Dalam hal ini, perkara tersebut dirujuk sebagai salah satu intervensi berkesan dalam mendidik pengguna jalan raya supaya tidak melakukan perkara tidak bertanggungjawab tersebut sekali gus mengurangkan risiko bahaya perkara-perkara tidak diingini di jalan raya.

MOHAMAD HAFIFI JAMRI
Universiti Sains Malaysia

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...