TERKINI :

Saturday, September 3, 2016

Azizah: Anwar lebih risaukan politik dari keluarga

Bernama | Bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanya lebih mengenai perkembangan politik berbanding keluarganya sendiri setiap kali mereka melawat beliau di penjara, kata isterinya yang juga presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

"Kadang kala terasa sedih juga, apabila beliau lebih bertanya tentang perjuangan kita, parti dan pakatan kita daripada bertanya hal keluarga.

"Saya terima hakikat saya hanya isteri Anwar, tapi dia milik semua rakyat Malaysia," katanya pada siri jelajah 'membongkar kontroversi 1MDB' anjuran PKR di Sabak Bernam, Selangor, malam tadi.

Jelajah itu bertepatan dengan ulang tahun ke-18 pemecatan Anwar sebagai timbalan perdana menteri.

Anwar dipecat oleh perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1998, selepas beliau mula bercakap menentang rasuah dan nepotisme dalam kerajaan.

Tujuh bulan kemudian, pada April 1999, Anwar dijatuhi hukuman enam tahun penjara kerana kesalahan meliwat.

Beliau dibebaskan pada tahun 2004, tetapi dipenjarakan sekali lagi bagi kes Liwat II, pada tahun 2015, dan kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh.

Pengkritik berkata, tuduhan tersebut bermotifkan politik dan bertujuan untuk mengekang pengaruh Anwar terhadap kerajaan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...