TERKINI :

Wednesday, September 14, 2016

Apa gunanya buat HAJI ?

Apabila berbicara mengenai Hari Raya Haji, kita tidak akan dapat lari daripada memikirkan mengenai ibadah haji yang sedang dijalankan oleh umat Islam terutamanya jika terdapat kaum kerabat kita yang sedang berada di Medah untuk menyempurnakan rukun Islam ke lima ini.

Pada ketika ini, jutaan umat Islam sedang berada di Tanah Suci Mekah bagi mengerjakan ibadah haji. Tidak terkecuali rakyat Malaysia juga terlibat dalam jutaan umat Islam di sana. Dan orang Malaysia yang berada di Mekah pula boleh jadi terdiri daripada orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain lagi. Ini kerana di Malaysia selain daripada majoriti orang Melayu beragama Islam, kita juga mempunyai orang-orang dari kaum Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain lagi yang turut menganut agama Islam.

Berjuta ringgit telah dibelanjakan dan akan terus dibelanjakan bagi umat Islam di Malaysia bagi menunaikan ibadah haji. Telah ramai juga rakyat Malaysia yang bergelar Haji dan Hajah. Ramai juga rakyat Malaysia yang telah menunaikan ibadah haji lebih daripada sekali malahan ada yang telah mencapai berpuluh-puluh kali.

Akan tetapi, apakah yang kita pelajari daripada ibadah haji ini ? Apakah hanya menunjuk-nunjuk ? Apakah menunaikan ibadah haji telah dianggap sebagai satu simbol kekayaan ?

Saya timbulkan permasalahan ini sebab walaupun telah ramai rakyat Malaysia berbilang bangsa telah menunaikan ibadah haji, malasah perkauman di dalam negara masih belum selesai dan terus menjadi senjata pihak-pihak tertentu untuk kemeneruskan legasi politik depa.

Mengapakah saya kaitkan isu perkauman dengan ibadah haji ? Apakah kaitannya dengan Malaysia yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum dan agama ?

Apabila seseorang itu menunaikan ibadah haji, sejak dari permulaan ibadah tersebut lagi kita telah diajar bahawa semua manusia adalah sama tidak kira dari mana asal keturunan kita dan pangkat atau jawatan apa yang kita pegang. Seseorang yang menunaikan ibadah haji, tidak kira apa bangsa sekali pun akan memakai pakaian yang sama tidak kira Raja, Sultan, Menteri, rakyat marhaen mahupun Najib.

Dalam ibadah haji, perbezaan di antara manusia dari segi bangsa, negara, kelas, kumpulan dan keluarga telah hilang sebaik sahaja ibadah haji bermula apabila kita mula memakai ihram. Semua yang mengerjakan ibadah haji, tidak kira lelaki dan perempuan, hitam dan putih terpaksa meninggalkan pakaian mereka di Miqat dan memakai ihram sepertimana yang lain. Selepas berihram, semua menjadi sama tidak kira apa bangsa, pangkat atau status ekonomi kita.

Lihatlah bagaimana ibadah haji ini telah mengajar umat Islam bahawa Allah tidak membeza-bezakan umat-Nya mengikut bangsa. Tetapi mengapakah masih ramai orang Malaysia yang berkali-kali menunaikan ibadah haji, yang bergelar ustaz dan ulamak masih lagi gagal untuk memahami konsep yang paling asas dalam menunaikan ibadah haji iaitu Islam tidak membeza-bezakan penganut-Nya mengikut bangsa ?

Apakah gunanya ke Mekah setiap tahun untuk menunaikan haji jika kita masih lagi mengira bangsa dan warna kulit kita dalam mewujudkan Malaysia yang adil untuk semua ?

MOHD AZIM,
seorang marhaen yang memerhati.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...