TERKINI :

Thursday, September 15, 2016

Analisa Piala Malaysia 2016 : Selangor, Kedah jadi pasukan pilihan

http://www.sinarharian.com.my/polopoly_fs/1.461721.1450050923!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_624/image.jpg

PERTEMUAN suku akhir kedua Piala Malaysia yang akan berlangsung pada 17 September ini pastinya bakal menjanjikan persaingan sengit di antara lapan pasukan bola sepak tanah air bagi melayakkan diri ke pusingan separuh akhir selepas ini.

Dalam pertemuan pusingan pertama suku akhir pada 28 Ogos lalu, Selangor yang merupakan penyandang juara Piala Malaysia tahun lalu dilihat perlu bekerja keras bagi memastikan kemenangan tipis 4-3 ke atas PKNS.

Menerusi rekod perlawanan, Selangor dan PKNS masih belum tewas dalam lima perlawanan terakhir sebelum ini.

Pertembungan antara pasukan 'adik dengan abang' ini antara yang perlawanan yang menarik dan dinanti oleh para penyokong memandangkan kedua pasukan mempamerkan prestasi yang setara buat masa ini.

Selangor pastinya merasai tekanan bagi mengekalkan kejuaraan mereka dan kemenangan ini adalah harapan mereka untuk mengakhiri musim ini dengan sekurang-kurannya satu piala.

Walaupun turun sebagai pasukan bukan pilihan, PKNS dilihat mampu memberikan saingan sengit kepada anak buah K.Gunalan.

Dalam perlawanan lain, Kedah bakal menerima kunjungan Negeri Sembilan dalam aksi saingan yang akan berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Dalam pertemuan pusingan pertama suku akhir sebelum ini, kedua pasukan dilihat terikat 0-0 tanpa sebarang jaringan gol selepas wisel penamat dibunyikan.

Namun begitu, bagi menghadapi Kedah pada 17 September ini, Negeri Sembilan perlu bekerja keras memandangkan mereka akan berkunjung ke tempat lawan.

Selain itu, menerusi rekod sebelum ini, Kedah hanya pernah tewas sekali daripada 7 perlawanan terakhir.

Kedah dilihat memiliki kelebihan dalam perlawanan ini berdasarkan prestasi yang baik dalam kempen Piala Malaysia 2016 malah mereka juga bakal turun dengan status sebagai pasukan pilihan.

Dalam pada itu, Kelantan dan PDRM juga turut dijadualkan bertembung dalam aksi saingan kedua suku akhir yang bakal berlangsung di Stadium Hang Jebat, Bandaraya Melaka.

Menerusi perlawanan sebelum ini, PDRM berjaya menundukkan pasukan kendalian Velizar Popov 2-1 sekali gus memberi bekalan satu gol ketika menerima kunjungan Kelantan selepas ini.

Walaupun Kelantan ketinggalan satu gol di belakang PDRM, Popov pastinya menyediakan ramuan tersendiri bagi meningkatkan prestasi anak buahnya ketika berkunjung ke tempat lawan.

Menerusi rekod, Kelantan telah mencatatkan kemenangan sebanyak tiga kali dan tewas toga kali dalam enam perlawanan terakhir mereka.

Dalam lima perlawanan terakhir PDRM di tempat lawan sebelum ini menyaksikan mereka bolos 11 kali.

Namun begitu, PDRM pastinya ingin mengekal rentak perlawanan mereka sekali gus memastikan tempat di peringkat separuh akhir.

Bagi pertemuan T-Team bertemu Felda United, ia pastinya bakal memberikan saingan sengit selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi perlawanan peringkat separuh akhir pertama sebelum ini.

Felda pastinya akan berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan mereka layak ke peringkat separuh akhir selepas harapan bagi meraih kejuaraan Liga Super tampak semakin kabur.

Pasukan kendalian Irfan Bakti dilihat mempunyai kelebihan memandangkan mereka akan menerima kunjungan daripada T-Team dalam aksi yang bakal berlangusung di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Namun begitu, Felda tidak boleh memandang remeh aksi yang bakal dipamerkan oleh T-Team memandangkan mereka juga pastinya bakal mempamerkan kejutan buat pihak lawan dalam aksi tersebut.

Bagi kempen Piala Malaysia 2016, T-Team hanya menjaringkan lima gola di halaman sendiri manakala Felda pula sudah mencatatkan kemenangan dua kali di tempat lawan dalam kejohanan musim ini.


No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...