TERKINI :

Friday, September 23, 2016

Amanah pelik kenapa NAJIB yang mewakili Tuanku buat kenyataan bukannya S/U Sulit ataupun Istana


SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) melahirkan rasa pelik dengan kenyataan terbaharu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang seolah-olah mewakili Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berhubung Deklarasi Rakyat dibawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, kebiasaannya sebarang kenyataan Yang di-Pertuan Agong bakal dikeluarkan Setiausaha Sulit ataupun istana.

“Saya berasa agak pelik apabila Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan mewakili Yang di-Pertuan Agong iaitu baginda tidak boleh mencampuri usaha Deklarasi Rakyat yang dibuat Bersatu.

“Saya ingin bertanya, sejak bila Datuk Seri Najib menjadi jurucakap kepada Yang di-Pertuan Agong?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Najib dilaporkan berkata, telah dimaklumkan Yang di-Pertuan Agong ada menjelaskan kepada Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa baginda tidak boleh mencampuri usaha parti berkenaan ketika menerima menghadap bekas Perdana Menteri itu di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah, minggu lepas.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata, Najib sebagai pihak berkepentingan dalam isu tersebut tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan mewakili Yang di-Pertuan Agong.

“Mana mungkin Datuk Seri Najib yang menjadi subjek dalam Deklarasi Rakyat dan juga menjadi pihak berkepentingan boleh mengeluarkan kenyataan mewakili Yang di-Pertuan Agong dalam isu melibatkan dirinya sendiri.

“Bagi saya, ia suatu yang melanggar kebiasaan dan cuba memperbodohkan rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Dr Mahathir dilaporkan telah menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menyerahkan Deklarasi Rakyat yang dilancarkan sejak 4 Mac lalu dalam usaha untuk menyingkirkan Najib.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...