TERKINI :

Wednesday, September 21, 2016

Alor Setar - Kerani JPJ, suami antara 3 diberkas berhubung sindikit kereta klon


ALOR SETAR 20 Sept. - Kegiatan licik seorang wa­nita yang mengaut keuntungan dengan menyalahgunakan sistem pendaftaran dokumen Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terbongkar apabila dia dan suaminya diberkas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Suspek berusia 31 tahun yang bertugas sebagai kerani di bahagian pendaftaran kenderaan JPJ negeri ini ditahan di pejabatnya sebelum dibawa ke bangunan SPRM kira-kira pukul 9.15 pagi. Suaminya yang merupakan seorang ejen kereta lusuh dari Singa­pura berumur 36 tahun pula ditahan di rumah mereka di Kulim

Difahamkan, suspek disiasat kerana dipercayai bersekongkol dengan sindiket kereta klon yang turut dianggotai suaminya untuk mengubah status lebih 100 ken­deraan mewah yang telah dilupuskan di Singapura agar boleh dijual dengan harga terpakai di negara ini.

Suspek dikatakan meneri­ma komisen RM2,000 hingga RM5,000 bagi setiap kenderaan yang dijual.

Sementara itu, siasatan lanjut yang dijalankan terhadap kedua-dua suspek membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 33 tahun di Kuantan, Pahang kira-kira pukul 2.30 petang ini.

Lelaki itu yang merupakan peniaga dalam talian berperanan sebagai individu yang membawa masuk dan membekalkan ken­deraan kepada pasangan suami isteri terbabit. Suspek kini ditahan di pejabat SPRM Pahang.

SPRM juga akan memeriksa kediaman suspek ketiga yang terletak di Selangor untuk mendapatkan bahan bukti.

Dalam pada itu, sumber memberitahu, ekoran penahanan ketiga-tiga suspek tersebut, beberapa individu lain akan ditangkap bagi melumpuhkan sindiket kereta klon yang aktif beroperasi di nege­ri ini.

Ujarnya, SPRM masih menyiasat peranan mereka dalam sindiket yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan me­reka sejak tujuh bulan lalu itu.

“Wanita terbabit disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 manakala suaminya dan seorang lagi suspek disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) akta sama. Ketiga-tiga mereka akan direman esok pagi di Kedah dan Pahang,” ujarnya.

Tambah sumber, setakat ini sudah lebih 20 buah kenderaan mewah antaranya Mini Cooper, Toyota Wish, Toyota Vellfire dan Toyota Estima yang dipercayai dijual sindiket berkenaan berjaya dirampas dari seluruh Semenanjung menerusi Op Piang.

Akhbar hari ini melapor­kan, seorang kakitangan agensi penguat kuasa yang bertanggungjawab menguruskan pendaftaran kenderaan bersekongkol dengan sindiket kereta klon bagi mendapat keuntungan berganda.

Ia dilakukan dengan menipu orang ramai yang menyangka kenderaan dibeli telah dirampas dan dilucutkan hak oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

Hasil perbuatannya yang me­nyalahgunakan sistem pendafta­ran kenderaan JPJ, suspek bukan sahaja menyebabkan pembeli yang membuat pinjaman rugi se­lepas status kenderaan itu terbongkar dan dirampas pihak berkuasa tetapi tidak dapat membuat tuntutan insurans sekiranya berlaku kemalangan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/kerani-jpj-suami-antara-3-diberkas-1.385421#sthash.doQ4mUmz.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...