TERKINI :

Tuesday, September 27, 2016

Alor Setar - Jejantas jadi port remaja melepak

ALOR SETAR - Tindakan remaja yang tidak bertanggungjawab membaling batu dari jejantas di KM40.6 Lebuhraya Utara-Selatan, Khamis lalu mendapat perhatian dari penduduk di sekitar kawasan itu.

Wan Azlan Wan Nik, 42, dari Kampung Hutan Kandeh berkata, kawasan itu kini sudah menjadi port remaja melepak dan melakukan aksi lumba motosikal.

Menurutnya, setiap bulan penduduk akan terdengar kereta terbabas dan cermin pecah pada waktu malam kerana tindakan tidak bertanggungjawab remaja berkenaan yang sanggup membaling batu pada kenderaan yang melalui bawah jejantas itu.

"Saya difahamkan remaja yang melakukan aktiviti itu bukannya berasal dari kampung ini dan penduduk pun tidak mengenali mereka.

"Malah saya percaya tindakan pihak berkenaan membawa batu yang besar itu adalah dari kuari berdekatan kerana sekitar kawasan ini adalah tanah sawah,” katanya.

Menurut Wan Azlan, walaupun terdapat papan amaran melarang untuk berkumpul di atas jejantas itu, golongan remaja berkenaan tidak menghiraukannya, malah semakin ramai remaja melepak di situ.

“Memang kadang-kalanya ada pihak berkuasa membuat rondaan di kawasan itu tetapi mereka akan lari dan sepi untuk beberapa malam.

"Bagaimanapun beberapa hari kemudian mereka akan berkumpul lagi untuk melakukan aktiviti itu semula,” katanya.

Pada malam Khamis lalu sebanyak tiga kenderaan yang melalui jejantas di KM 40.6 telah rosak kerana dibaling batu oleh pihak tidak berkenaan.

Kenderaan itu dikatakan dari arah Jitra ke selatan dan melalui jejantas di antara Hutan Kampung dan Kampung Hutan Kandeh.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, ketiga-tiga kenderaan itu  mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan hingga cermin pecah dan bonet kemik.

Katanya, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan pihaknya sedang menjalankan siasatan untuk mengesan suspek yang terlibat.

"Sekiranya orang ramai mempunyai maklumat mengenai kejadian itu, mereka diminta tampil menghubungi pihak polis di balai berdekatan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di jejantas itu mendapati kerja mendirikan pengadang sudah mula dilakukan oleh pihak Plus Malaysia Berhad (Plus).

Difahamkan kerja mendirikan pengadang akan dilakukan itu sepanjang 90 meter dan setinggi 2.5 meter di kedua belah jejantas itu.

Kerja pembinaan berkenaan akan mengambil masa selama 20 hari.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...