TERKINI :

Saturday, September 10, 2016

Alor Setar - Ibu buntu 4 anak tak layak dapat sijil tahfiz

Anak-anak Ummu Hamzah belajar menghafal al-Quran di rumah dan

ALOR SETAR 9 Sept. - Seorang ibu buntu kerana tidak menemui cara untuk membolehkan empat anaknya yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran mendapatkan Sijil Tahfiz Malaysia (STM) daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurut Ummu Hamzah, 39, keempat-empat anaknya tidak layak untuk mendapat sijil pengiktirafan tersebut kerana syarat yang ditetapkan oleh Jakim adalah pemohon mesti berumur 15 tahun dan ke atas.

"Empat anak saya yang sudah hafaz 30 juzuk al-Quran baru berusia 12, 11, sembilan dan lapan tahun. Aisyah, Hamzah dan Sumayyah hafaz al-Quran sejak setahun lalu manakala Bilal (hafaz al-Quran) kira-kira dua bulan lalu.

"Saya dan suami sepakat untuk memilih homeschooling de­ngan menjadikan pengajian al-Quran sebagai keutamaan. Anak sulung saya yang mula hafaz al-Quran ketika berusia lima tahun. Sementara enam adiknya didi­dik menghafaz al-Quran ketika berumur tiga tahun.

"Kini anak kelima saya, Bara­kah yang berusia enam tahun sudah pun berjaya menghafaz 15 juzuk al-Quran. Dua adiknya, Zainab (lima tahun) dan Hawwak (tiga tahun) pula sedang belajar menghafaz surah pendek," kata ibu kepada lapan anak itu ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Kata Ummu, dia cuba menda­patkan pandangan daripada beberapa sekolah tahfiz namun tiada pihak yang dapat membantunya untuk memperoleh sijil itu bagi membolehkan anak-anaknya itu mendalami ilmu agama di Arab Saudi atau Mesir.

"Ada sekolah tahfiz di sini yang mencadangkan anak menduduki peperiksaan dengan bayaran RM500 seorang. Jumlah itu agak membebankan kami kerana saya dan suami tidak mempunyai pendapatan tetap selepas pulang dari Australia kira-kira lima tahun lalu.

"Pada masa ini, saya ada mengambil upah menjahit namun pendapatan tidak menentu. Saya mempunyai kelulusan dalam bidang farmasi dari University of New South Wales, Australia manakala suami mempunyai ijazah sarjana dalam jurusan kejuruteraan dari universiti yang sama," katanya.

Menurut Ummu, dia mengorbankan gaji lu­mayan mencecah RM13,000 sebulan ketika beker­ja di Australia manakala suaminya melepaskan peluang me­nyam­bung pengajian di pe­ringkat ijazah doktor falsafah untuk me­mastikan anak-anak mempunyai pengetahuan tinggi dalam ilmu berkaitan Islam.

Tambah Ummu, dia juga sedang mencari dana bagi membolehkan anak-anaknya menda­lami ilmu agama di negara Asia Barat dan memantapkan penguasaan bahasa Arab.

Mereka yang berminat untuk membantu mendapatkan STM bolehlah menghubungi Ummu di talian, 010–2904665.


No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...