TERKINI :

Wednesday, September 21, 2016

Ahmad Yakob enggan jadi mursyidul am PAS

Datuk Ahmad Yakob berkata, beliau enggan menjadi mursyidul am PAS dan mahu memberi laluan kepada orang lain bagi menggantikan tempat allahyarham Datuk Dr Haron Din.

Menurut Ahmad yang juga menteri besar Kelantan itu, beliau ingin memberi laluan kepada orang yang lebih layak bagi menjawat jawatan tersebut, lapor Harakahdaily.

"Kalau boleh saya mahu terus kekal menjadi timbalan mursyidul am PAS.

"Setakat ini saya masih timbalan mursyidul am dan pohon sahabat lain ambil jawatan itu, kerana masih ramai yang layak dalam kepimpinan PAS ini," ujarnya dipetik sebagai berkata.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan berhubung dirinya yang disebut bakal menggantikan Haron yang meninggal dunia Jumaat lalu.

Selain itu, anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Pekan itu berkata, beliau turut memberitahu bahawa penolakannya itu berikutan banyak tugasan lain yang disandangnya termasuk menjadi menteri besar Kelantan.

Justeru, beliau menyerahkan kepada 15 anggota Majlis Syura Ulama untuk membuat keputusan dalam mesyuarat pertama majlis itu dalam masa terdekat.

Malah, Ahmad juga berkata, calon bagi menjawat jawatan itu sudah ada namun tidak mahu menyatakannya secara terbuka.

"Calon memang ada, tapi mana boleh saya umumkan secara terbuka. Tunggulah keputusan yang akan dibuat dalam mesyuarat nanti," ujarnya lagi.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...