TERKINI :

Monday, September 19, 2016

4 menteri besar bertukar atau PM ditukar oleh 4 menteri besar..???

Shahbudin Husin,


Tiba-tiba saja isu pertukaran Menteri Besar muncul kembali. Malah kali ini diberitakan Najib Razak mahu menukar empat ketua kerajaan negeri iaitu Kedah, Pahang, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Selain faktor kesihatan dan sudah lama berkhidmat, Najib juga difahamkan merancang pertukaran itu kerana memerlukan pemimpin baru untuk menerajui parti dan kerajaan di negeri-negeri yang terbabit itu.

Sementara isu pertukaran ini mungkin menyebabkan penyandang sedia ada, terutama yang sedar memang ada masalah tertentu membelenggu mereka dalam menjalankan tugas seharian, mula menghitung hari-hari terakhir di puncak kuasa peringkat negeri, pemimpin yang lain barangkali mula mencatur strategi untuk mengisi kekosongan yang ada itu.

Tidak mustahil sudah ada yang mula berangan-angan, memasang badan dan menempah baju Melayu baru ketika ini. Yang melobi, merapatkan diri atau lebih kerap mencium tangan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri juga tentunya bertambah ramai kebelakangan ini.

Menteri Besar sedia ada mungkin turut merasakan mereka sudah kekurangan penyokong dan pengampu sehari dua ini. Biasanya begitulah, bila pokok sudah mula senget mahu tumbang, kera dan monyet pun tidak lagi berminat bergayut di dahannya.

Menukar Menteri Besar adalah proses biasa bagi mana-mana kerajaan negeri. Pertukaran boleh dilakukan atas pelbagai sebab dan kadangkala juga direka sebab-sebabnya.

Tetapi sebelum Najib mahu menukar keempat-empat Menteri Besar itu, apakah UMNO dan BN begitu yakin akan terus berkuasa di negeri-negeri tersebut?

Apakah sokongan rakyat makin bertambah atau kian berkurangan dengan rancangan pertukaran Menteri Besar itu?

Begitu juga dengan peranan Menteri Besar-Menteri Besar yang tahu jawatan mereka akan ditanggalkan, apakah mereka akan bekerja bersungguh-sungguh sewaktu kempen PRU 14 nanti atau hanya bersikap sambil lewa sahaja?

Tidak mungkinkah juga berlaku lebih banyak unsur sabotaj, tidak mahu bekerja atau lepas tangan di kalangan penyokong atau orang kuat Menteri Besar yang digugurkan itu?

Lebih tidak mustahil ialah bagaimana jika sementara Najib merancang melakukan pertukaran pemimpin, rakyat atau pengundi pula membuat pertimbangan untuk menukar kerajaan di empat negeri terbabit?

Jika UMNO dan BN terumbang-ambing, hilang banyak kerusi dan mungkin juga gugur kuasa di peringkat negeri, tidakkah ia secara langsung akan menyukarkan lagi Najib mengekalkan kuasanya di Pusat?

Akhirnya, empat Menteri Besar yang dirancang untuk digugurkan itu mungkin juga merupakan sebab untuk Najib sendiri lebih mahu ditukarkan. Berbanding pertukaran empat Menteri Besar, lebih ramai sebenarnya yang mahu Najib digantikan.

Bahkan, pasti lebih ramai yang gembira jika Najib dan keempat-empat Menteri Besar itu dapat digugurkan secara serentak. (SH 19/09/2016).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...