TERKINI :

Thursday, September 15, 2016

1 lawan 1 Pas setuju, tapi ‎tiada kerjasama antara DAP & AMANAH

Mahfodz Mohamed

SHAH ALAM - Pas pada asasnya setuju dengan konsep satu lawan satu  malah yakin parti pembangkang akan menang besar ia digunakan menentang BN.

Ketua Dewan Ulamak Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, bagaimanapun berkata, parti itu tidak pasti sejauh mana strategi tersebut mampu direalisasikan.

"Saya ingat semua pembangkang bersetuju dan berhasrat supaya tak ada tiga penjuru. Memang kita harapkan untuk jatuhkan BN dengan satu lawan satu.

"Jika berlaku begitu (satu lawan satu) kemungkinan besar (pembangkang) akan menang. Tetapi sama ada ia akan berlaku atau tidak, itu Wallahualam," katanya kepada Sinar Harian, semalam,

Kelmarin, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah menyatakan sekiranya  pembangkang sepakat memilih formula satu lawan satu, ia boleh mengancam kedudukan Umno.

Mengulas lanjut, Mahfodz berkata, setakat ini Pas tidak mengadakan  perbincangan mengenai perkara itu dengan mana-mana parti pembangkang yang lain.

"Cuma yang kita dah ada kerjasama ialah dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan NGO-NGO (pertubuhan bukan kerajaan). Apa yang pasti, kita tak akan buat hubungan dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

"Yang lain-lain, termasuk Bersatu itu ada kemungkinanlah. Tetapi setakat ini lah, tak tahulah (akan datang) sebab politik ini semua boleh kalau dah sampai masanya," katanya.

Mengenai halangan untuk bekerjasama dengan DAP dan Amanah, beliau berkata, Pas menyerahkan kepada kebijaksanaan PKR untuk menentukan memandangkan parti itu mempunyai hubungan dengan kedua-dua belah pihak.

"Kalau ada keperluan kita akan bincang secara dalaman dan dengan PKR," katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...