TERKINI :

Wednesday, August 24, 2016

Umno yang kalah teruk PRU13, bukan kami, kata MCA

 chris-shahidan
PETALING JAYA: MCA hari ini memberitahu Umno supaya cermin diri sebelum menuduh parti itu gagal menunjukkan prestasi baik pada pilihan raya lepas.

Ia selepas ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Shahidan Kassim menasihatkan MCA supaya jangan hanya menuntut balik kerusi yang pernah dipinjamkan kepada Umno sekiranya tidak dapat menjamin kemenangan untuk Barisan Nasional (BN).

“Melihat kembali pilihan raya umum ke-13, Umno bukan sahaja tewas di tiga kerusi yang dipinjamkan oleh MCA, tetapi juga kalah dengan majoriti lebih besar.

“Menggunakan kata-kata Shahidan sendiri, mengapa pinjam kalau kalah?” kata Setiausaha Biro Keharmonian Agama, Chris Daniel Wong.

Pada pilihan raya lepas, PKR menewaskan calon BN diwakili Umno dengan majoriti lebih besar 4,515 berbanding 1,826 ketika ditandingi MCA pada 2008.

Di Gelang Patah, Johor, MCA menang dengan majoriti 8,851 pada 2008, tetapi veteran DAP Lim Kit Siang memenangi kerusi itu pada 2013 daripada BN menewaskan calon Umno dengan majoriti 14,762.

Begitu juga, kerusi Wangsa Maju dikekalkan pembangkang dengan majoriti 5,511 berbanding majoriti tipis 150 ketika ditandingi MCA pada 2008.

Wong berkata ketiga-tiga contoh itu menunjukkan Umno yang kalah dengan majoriti lebih besar di kerusi Parlimen.

“Mungkin Shahidan Kassim perlu diingatkan kajian Politweet yang mendapati Umno hilang 12% sokongan Melayu di Johor dan beliau patut lebih bimbang dan menyelesaikannya untuk BN, daripada menuduh MCA tidak mampu memenangi kerusi,” kata Wong.

Sebelum ini, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai meminta Umno menyerahkan semula 3 kerusi Parlimen itu yang menurut MCA “milik” mereka.

Bagaimanapun, Shahidan berkata perbincangan kerusi adalah perkara nombor dua.

“Banyak orang cakap nak ambil kerusi, kerusi itu. Boleh dibincang tetapi jaminan kemenangan? Jangan hanya minta kerusi tetapi tidak boleh beri kemenangan,” katanya kepada FMT.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...