TERKINI :

Monday, August 8, 2016

Umno kurang popular di kalangan anak muda

Wartawan Sinar Harian
8 Ogos 2016

SHAH ALAM - Parti baru yang bakal dipimpin oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat tidak sekuat Umno namun ia mampu melemahkan parti Melayu itu dengan menarik sebahagian pimpinan cawangan selepas ini.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, pengundi muda yang terdedah dengan dunia siber sebahagian besarnya mula hilang sokongan pada Umno khususnya di kawasan bandar.

“Kedudukan Umno jelas kurang popular di kalangan pengundi muda mungkin menjadi penyebab utama mengapa Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin memberikan peringatan kepada ahli pemuda.

“Ini menunjukkan bahawa Khairy seorang pemimpin peka di mana Umno sedang berdepan defisit sokongan dan semua pihak tidak harus mengabaikan apa sahaja bahaya yang mungkin wujud,” katanya kepada Sinar Online.

Sebelum ini, Khairy mengingatkan Pemuda Umno supaya tidak mengambil mudah penubuhan parti baharu oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dengan beranggapan parti kecil itu tidak akan bertahan lama.

Dalam pada itu, Md Shukri berkata, golongan berpendidikan tinggi serta profesional juga dilihat semakin jauh dari Umno malah gejala peminggiran oleh generasi muda amat merbahaya kepada pergerakan pemuda sebagai benteng pelapis parti berkenaan.

“Kewujudan lebih ramai pemuda yang tidak berparti adalah petanda bahawa kekuatan Umno bila-bila masa boleh tergugat jika langkah proaktif membina kesetiaan ahli tidak tercapai.

“Beberapa buah negeri yang dikuasai Umno mungkin akan terlepas kepada pembangkang jika gesaan Khairy tidak diambil peduli,” katanya.

Tambahnya, Umno tidak seharusnya mengambil kira soal kerusi di Dewan Rakyat namun perlu memberikan perhatian serius kepada pergerakan akar umbi.

“Lompat parti secara tidak rasmi oleh ahli Umno kepada parti baharu boleh mengganggu jentera dan kekuatan di cawangan serta Pusat Daerah Mengundi (PDM),” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...