TERKINI :

Friday, August 19, 2016

Umno bakal memimpin BN Pulau Pinang, Gerakan disisih?

Umno
PETALING JAYA: Umno bersedia mengambil alih jawatan pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang dari sekutunya Gerakan ekoran kelemahan parti itu sebagai pembangkang di negeri pimpinan DAP, ditambah dengan keputusan pilihan raya yang buruk.

Seorang anggota kanan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Gerakan berkata, 10 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang dimenangi Umno meningkatkan keyakinan parti itu untuk melakukan tugas dengan lebih baik dan mengurangkan majoriti DAP dalam pilihan raya akan datang.

Pemimpin Gerakan, yang enggan dikenali itu berkata, seorang ahli politik Umno Pulau Pinang dan seorang menteri Persekutuan disebut-sebut untuk menjadi pengerusi BN negeri itu.

“Nama seorang ahli politik kanan Umno dari Pulau Pinang dicadangkan oleh oleh menteri itu kepada Perdana Menteri, untuk jawatan pengerusi BN negeri.

“Langkah ini satu penghinaan besar kepada Gerakan yang kelihatan lebih berminat terhadap pertelingkahan dalaman sejak tiga tahun yang lalu, dan bukannya menjadi ‘check and balance’ kepada kerajaan,” kata sumber itu kepada FMT.

Secara tradisinya, pengerusi BN di Pulau Pinang diwarisi Pengerusi Gerakan negeri. Buat masa ini, Teng Chang Yeow, yang juga bekas Exco Pulau Pinang.

Teng, bagaimanapun memilih bercuti atas sebab-sebab peribadi sejak beberapa bulan lalu.

Pulau Pinang ditadbir Gerakan selama tiga penggal, sejak 1970 di bawah kepimpinan bekas ketua menteri Tun Datuk Seri Dr Lim Chong Eu dan Tan Sri Koh Tsu Koon.

Bagaimanapun, ia kalah teruk pada pilihan raya umum 2008 kepada pihak Pakatan Rakyat.

Sementara itu, ahli berpangkat tinggi parti itu mendedahkan Gerakan bukan sahaja gagal berkembang kuat tetapi pertelingkahan dalaman yang tidak kesudahan dan kewujudan “blok” pemusuh sesama parti melumpuhkan lagi parti itu.

“Pengerusi negeri yang sedang bercuti pula mendakwa ahli-ahli parti peringkat kebangsaan campur tangan dalam perkara-perkara peringkat negeri.

“Apabila kamu asyik bertengkar membiarkan diri diperbodohkan, tentulah jawatankuasa pusat akan melangkah masuk untuk meleraikan pergaduhan,” kata ahli parti.

Ahli itu menambah, pertelingkahan tidak berhenti walaupun terdapat cubaan untuk menenangkan pihak terbabit.

“Maka, tidak hairanlah bagi Umno merebut peluang ini untuk mengukuhkan kedudukan mereka di Pulau Pinang.

“Pemimpin-pemimpin Gerakan Pulau Pinang hanya menjadi ‘hero’ apabila bertelingkah secara dalaman tetapi ‘zero’ (kosong) apabila menjadi pembangkang menentang kerajaan Pulau Pinang semasa yang semakin sombong. Mereka tidak mempunyai pelindung untuk menangkis peluru Ketua Menteri dan kabinetnya.

“Ditambah, lebih ramai pemimpin bijak dari Gerakan Pulau Pinang mengambil keputusan meninggalkan parti itu, ia boleh membawa kepada kecundangan yang lebih buruk,” katanya.

Gerakan berada dalam keadaan serba salah selepas Teng bercuti beberapa bulan, khabarnya dia merancang meninggalkan jawatan untuk penggantinya.

Menurut sumber itu, ini adalah kali pertama seorang ketua Gerakan Pulau Pinang bercuti untuk memberi tumpuan kepada perniagaan.

Ahli kanan CWC itu memberitahu FMT, langkah menggantikan pengerusi BN negeri wujud selepas mereka hilang keyakinan terhadap Teng yang dilihat “jinak dan tenang” sepanjang menjadi pengerusi.

“Apabila individu seperti Datuk Huan Cheng Guan dari Parti Cinta Malaysia memperoleh lebih banyak sokongan dan mampu menonjol sebagai pembangkang yang lebih baik daripada BN, di mana Gerakan mahu meletakkan mukanya?

“Ini memalukan Gerakan. Ini di sebalik hakikat hanya segelintir ahli Gerakan dari Pulau Pinang yang tampil menyuarakan pendapat mereka di media,” kata anggota kanan parti itu.

Baru-baru ini, tindakan Dr Thor Teong Gee dari Badan Perhubungan Gerakan Pulau Pinang dan peguam Rowena Yam meletak jawatan dari parti itu menarik perhatian ramai. Dr Thor adalah timbalan Setiausaha Agung Gerakan dan Yam adalah Ketua Wanita negeri.

Awal tahun ini, berita persengketaan dalaman didedahkan secara terbuka apabila blok A yang mengakui “intelek” Gerakan mendakwa disisihkan oleh pihak yang dilabelnya sebagai “pejuang jalanan dan golongan penutur bahasa Cina” sebagai pemimpin.

“Jika anda melihat dengan teliti, terdapat dua kem, satu diketuai oleh Teng, satu lagi oleh sekumpulan profesional yang diketuai oleh Baljit Singh. Anda boleh melihat siapa yang diketepikan. Jelas sekali, pasukan Baljit ini ditolak ke tepi,” tambah ahli itu.

Sebelum ini Teng menafikan semua khabar angin dengan berkata seorang individu “bodoh” sengaja mewujudkan konflik antara dia dan ahli partinya.

Beliau akui menawarkan jawatan kepada mereka termasuk yang tidak penyokongnya.

Teng juga menyangkal kewujudan dua kem.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...