TERKINI :

Wednesday, August 3, 2016

Terbukti 3 Tan Sri difitnah oleh Naib Ketua Pemuda Umno, jika saya sudah lama kena bercuti di lokap Jinjang - Rafizi

SHAH ALAM - Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun terbukti memfitnah tiga Tan Sri yang dikaitkan dengan kononnya ada konspirasi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan Malaysia dalam laporan polis dibuat, minggu lalu.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata ia susulan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam yang menutup kes tersebut kerana laporan dibuat berasaskan andaian dan tiada bukti.

“Maksudnya ia fitnah terhadap ketiga-tiga tokoh ini dan institusi yang mereka ketuai dulu iaitu Bank Negara Malaysia, Kamar Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya melalui kemas kini status di Facebook, hari ini.

Khalid mengesahkan pihaknya telah menghentikan siasatan berhubung laporan polis dibuat Khairul Azwan terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang didakwa terlibat dalam konspirasi menggulingkan Najib dan kerajaan Malaysia.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, Khairul Azwan sepatutnya berterima kasih kerana tidak dikenakan tindakan selepas membuat laporan palsu.

“Kalau saya sudah lama kena simpan bercuti di lokap Jinjang, ihsan Kerajaan Malaysia.

“Beliau patut berterima kasih kerana tidak ditangkap dan didakwa kerana membuat laporan palsu dan memfitnah ketiga-tiga institusi itu,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...