TERKINI :

Tuesday, August 23, 2016

SELEPAS MOHON MAAF DARIPADA AGONG, SIAPAKAH MO1 SEBENAR DALAM PEMAHAMAN TERKINI NAWAWI?

Shahbudin Husin,

Ir Nawawi Ahmad
 
Ahli Parlimen Langkawi, Nawawi Ahmad akhirnya akur untuk memohon  kemaafan daripada Yang Dipertuan Agong berikutan keterlanjurannya mengaitkan nama Baginda sebagai Malaysian Official 1.

Pada mulanya Nawawi agak berdegil dan cuba mempertahankan apa yang diperkatakannya itu, malah menyatakan hanya akan meminta maaf jika dititahkan oleh Agong.

Bahkan kata-kata Nawawi seperti dipetik Malaysiakini, "Kalau nak minta maaf, saya mestilah bersalah. Tetapi dalam kes ini saya tidak bersalah, saya nak mohon maaf buat apa", terselit unsur-unsur keangkuhan yang ketara dalam dirinya yang kerdil dan bersaiz kecil itu.
 
Tetapi, setelah semalam Majlis Kerabat Diraja Kedah sendiri tampil menyatakan rasa kesal terhadap tindakan Nawawi itu, barulah beliau nampaknya sedar keterlanjurannya sudah sampai ke peringkat begitu menyinggung  perasaan pihak Istana, lalu sedar tiada pilihan lain baginya selain meminta maaf.

Sebelum itu, pelbagai pihak turut tampil mengecam tindakan Nawawi mengaitkan nama Agong sebagai Malaysian Official 1, malah seruan agar beliau segera meminta maaf juga banyak kedengaran.

Meskipun demikian, yang menjadi persoalan ialah mengapa Nawawi hanya membacakan saja kenyataan meminta maaf itu, namun tidak ada sama sekali menyatakan hasrat mahu memohon mengadap Agong bagi tujuan tersebut?

Bukankah lebih manis dan beradab, selain memohon maaf secara terbuka, Nawawi juga perlu mengadap Agong, bukan saja untuk menyampaikan permohonan maafnya secara peribadi, malah rasa kesalnya juga terhadap Baginda atas keterlanjurannya itu?

Selain itu, dengan memohon maaf juga, bermakna Nawawi secara langsung dan sedar telah mengakui bahawa Agong bukanlah Malaysian Official 1 sebagaimana yang didakwanya sebelum ini.

Maka, bolehkah Nawawi, mulai sekarang berterus-terang kepada seluruh rakyat Malaysia, siapakah Malaysian Official 1 yang sebenar berdasarkan pemahamannya yang terkini?

Jika sebelum ini beliau begitu berani mengaitkan Agong, tetapi kemudian meminta maaf atas keterlanjuran itu, maka Nawawi juga semestinya tidak takut untuk menyebut nama lain yang lebih tepat kaitannya dengan Malaysian Official 1?

Atau mungkinkah bagi Nawawi, ada yang lebih "ditakuti" untuk dicemar namanya selain daripada Agong? (SH 23/08/2016).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...