TERKINI :

Friday, August 5, 2016

Selepas 30 tahun, TMJ ‘kalahkan’ FAM

SH : TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa beliau telah berjaya menewaskan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas sekian lama mencuba untuk mengubah sistem bola sepak negara yang telah diguna pakai selama 30 tahun.

Menurutnya, beliau pernah digelar budak mentah suatu ketika dulu namun hari ini beliau yang merupakan pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan rasa cintanya kepada bola sepak telah membuahkan hasil.

“Hari ini, Exco bersetuju untuk bersara bersama-sama dengan Presiden. Pilihan raya akan diadakan dan muka baru akan dipilih untuk mengendalikan bola sepak Malaysia. Kepakaran luar akan dibawa masuk untuk menambah baik sistem sedia ada.

“Hari ini saya dengan perasaan bangga ingin menyatakan bahawa lelaki muda tersebut yang benar-benar sayangkan bola sepak dengan impian besarnya dan pernah juga digelar budak mentah, telah mengalahkan rejim 30 tahun FAM,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata keputusan mengenai formula baharu yang dibentangkan bagi memulihkan prestasi bola sepak negara masih belum mencapai kata putus pada pertemuan antaranya dengan Exco FAM.

Intipati formula itu dikatakan berkaitan kepimpinan dan hala tuju FAM serta penglibatan semua pihak dalam membentuk masa depan bola sepak negara.

Menurut Tunku Ismail, selama ini beliau terpaksa berjuang melawan sistem FAM, ahli politik, penyokong bola sepak Malaysia yang jahil, media dan laman sosial serta orang-orang yang hanya tahu bercakap tetapi enggan menukar sistem.

“Seperti pernah saya katakan sebelum ini, saya akan memusnahkan apa yang mereka bina dari awal dan membina semula dengan lebih baik.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih atas Latihan Operasi Hitam di luar negara yang telah menjadikan saya seorang lelaki sepertimana saya hari ini. Kepada penyokong bola sepak Malaysia, ini merupakan satu penghormatan lakukan perkara ini untuk anda. Terima kasih,” katanya.

Beliau turut memaklumkan telah ditawarkan jawatan Presiden FAM oleh Khairy Jamaluddin dalam pertemuan baru-baru ini namun menolaknya dengan alasan sudah memiliki JDT.

“Bakal ada konflik kepentingan kerana saya akan lebih cenderung ke arah negeri saya. Seperti yang saya nyatakan berpuluh-puluh kali sebelum ini, kita perlu mencari seseorang yang tidak mempunyai sebarang pertalian dengan mana-mana persatuan bola sepak negeri atau kelab-kelab yang mengambil bahagian.

“Saya bukan seseorang yang mementingkan diri sendiri, pemanipulasi dan terbabit dalam gejala rasuah kerana jika saya adalah sedemikian rupa, saya pasti akan menerima tawaran untuk menjadi presiden sekarang ini,” katanya.

Menyentuh dua jawatan lain yang ditawarkan untuknya, Tunku Ismail berkata beliau masih mempertimbangkannya.

“Berkenaan tawaran menjadi pengerusi pasukan kebangsaan dan Ketua Kongres untuk FMLLP (Usaha sama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia) yang akan dipertimbangkan, saya akan menanti pertemuan sekali lagi dengan YB Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Norza sebelum membuat sebarang keputusan.

“YB Khairy Jamaluddin telah memberikan formula beliau, dan saya telah membentangkan pandangan saya untuk maklumat penyokong semua,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...