TERKINI :

Thursday, August 11, 2016

Selamat hari jadi Anwar: Perjalanan kami bukan ke Putrajaya

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata perjalanan dan destinasi parti itu tidak pernah untuk ke Putrajaya tetapi sebaliknya adalah untuk menaikkan semangat masyarakat dan menjadikan mereka berpegang kepada integriti, kejujuran dan keadilan

Kata beliau, ini difahami oleh kebanyakan generasinya dalam PKR, walaupun mengakui parti itu pernah terjerumus untuk tempoh yang singkat.

Menurut Rafizi, mereka kini memahami apa yang perlu dilakukan dan mahu masyarakat tidak lagi akan berpaling setiap kali ketidakadilan dilakukan di kalangan mereka.

“Kita hanya boleh membentuk masyarakat sedemikian jika kita merungkai setiap undang-undang, setiap amalan, setiap kecenderungan feudal dan setiap ketidakadilan yang wujud dalam sistem yang digunakan untuk mentadbir kita.

“Ini adalah perjalanan yang panjang - mungkin di luar jangka hayat yang diberikan kepada kamu dan saya. Kita hanya boleh melakukan apa yang terdaya dengan ruang dan masa yang diberikan kepada kita,” katanya.

Rafizi berkata demikian dalam perutusan ulang tahun ke-69, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang meringkuk di penjara Sunga Buloh menjalani hukuman penjara lima tahun kerana kesalahan meliwat.

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada tempoh masa yang terhad itu merujuk kepada Anwar mahupun kepada pemimpin pembangkang lain.

Rafizi juga mengimbas bagaimana sebagai pemuda muda berusia 21 tahun pada tahun 1998 beliau berjinak dengan gerakan reformasi pimpinan Anwar dan mempelajari mengenai pembaharuan, kejujuran dan kebaikan.

“Saya kini ingat bahawa Putrajaya tidak pernah menjadi objektif,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...