TERKINI :

Wednesday, August 17, 2016

Satu lagi PADANG BOLA & REKREASI di KL bakal lenyap dek kerakusan pimpinan MELAYU

PADANG BOLA SEPAK & REKREASI BANDAR TUN RAZAK.


Semalam aku berjumpa dengan sekumpulan Ahli Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Padang Bola Bandar Tun Razak. Ada lebih kurang 6 orang yang datang berjumpa aku menerangkan status Padang Bola Bandar Tun Razak yang bakal lenyap dek kerakusan pimpinan Melayu Umno.

Sebahagian besar ahli Jawatankuasa yang datang jumpa aku tu adalah ahli Umno Bandar Tun Razak, ada juga ahli KeADILan dan juga AMANAH Bandar Tun Razak.

Mula sekali aku tanya, Umno Bahagian Bandar Tun Razak tak ambil tahu ke isu ni?? Jawapannya tak la mengejutkan kerana aku dah agak dari awal. Apa jawapannya?? Jawapannya projek pengambilan Padang Bola ini ada kaitan dengan Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak. Ketua Umno Bahagian juga merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa Penasihat DBKL. Hmmmmm melayu.

Faktanya.

Padang Bola Bandar Tun Razak terletak di tengah-tengah laluan antara Kg Congo (Bandar Tun Razak) dengan Flat Sri Labuan di Jalan Budiman Bandar Tun Razak. Padang Bola tersebut hakmiliknya terletak di bawah Ketua Setiausaha Negara melalui Warta Kerajaan di bawah Kanun Tanah Negara. Warta Kerajaan bernombor P.U (B) 344/2005 mewartakan tanah tersebut bagi tujuan tanah lapang dan padang bola bagi kegunaan awam.

Pada tahun lepas suatu minit mesyuarat arahan YB Menteri Wilayah Persekutuan telah mengarahkan Jabatan Perancang Bandar DBKL meminta Jabatan Pengurusan Harta DBKL memohon kepada Pejabat Tanah & Galian Wilayah untuk membatalkan Warta P.U (B) 344/2005 atas alasan untuk membangunkan tanah tersebut bagi projek perumahan mampu milik yang kononnya untuk penempatan semula penduduk Flat Sri Labuan.

Tetapi maklumat yang diperolehi menunjukkan pembangunan padang tersebut ialah berupa projek kondominum dan/atau apartment.

Surat permohonan pembatalan warta daripada DBKL jelas menyatakan bahawa apabila warta dibatalkan, tanah tersebut akan dijual kepada sebuah pemaju yang akan memajukan tanah tersebut.

Jawatankuasa Bertindak telah menyerahkan Memorandum Bantahan kepada Datuk Bandar tetapi tiada layanan.

DBKL dalam masa yang sama telah menyatakan bahawa padang tersebut akan diganti dengan sebuah padang baru yang lebih baik dan padan tersebut juga telah dengan hebatnya dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan pada 24/05/2016.

Dalam ucapan perasmiannya, Menteri Wilayah Persekutuan berkata ""Ini adalah satu lagi inisiatif daripada Umno Bahagian Bandar Tun Razak yang mahu memastikan penduduk di sekitar kawasan ini mendapat semula padang bola sepak baharu bagi kemudahan semua. Penduduk di kawasan ini boleh menggunakan fasiliti ini secaran percuma tanpa bayaran di siang hari, namun jika digunakan di sebelah malam mereka perlu membayarnya kerana ia melibatkan kos elektrik bagi lampu limpah".

Apa yang mengejutkan ialah padang baru tersebut juga adalah sebuah padang di bawah hakmilik Ketua Setiausaha Negara melalui Warta No. P.U (B) 82/2007 yang bertujuan untuk kawasan lapang dan rekreasi. Padang ini telah dibangunkan kononnya atas tanggungjawab sosial korporat pemaju Sinerjuta Sdn. Bhd yang juga merupakan pemaju yang akan memajukan padang lama.

Bagaimana pemaju tersebut boleh memajukan tanah yang di bawah milik Ketua Setiausaha Negara melalui warta yang secara spesifiknya untuk kawasan lapang dan rekreasi sebagai sebuah mini stadium?

Isunya sekarang ialah :
a) Bagaimana Menteri boleh mengarahkan DBKL memohon untuk membatalkan Warta P.U (B) 344/2005 untuk menjual tanah tersebut kepada pemaju?

b) Bagaimana Pemaju boleh masuk memajukan tanah rizab di bawah Warta P.U.(B) 82/2007 sebagai sebuah stadium mini?

c) Bagaimana Jabatan Perancang Bandar DBKL membuat penilaian membenarkan pembangunan kondominium di atas padang bola Bandar Tun Razak?

d) Adakah suatu penilaian telah dilakukan oleh DBKL mengenalpasti persekitaran kawasan untuk pembangunan kondominium?

e) Jika pembangunan kondominium dibenarkan, kesesakan lalu lintas sedia ada di kawasan tersebut akan bertambah buruk malah pelbagai masalah sosial lain akan wujud kerana pertambahan kepadatan penduduk.

f) Apa hubungan pemaju dengan Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak dan Menteri Wilayah Persekutuan?

Melayu lanyak melayu. Yang disalahkan ialah DAP.

BERANI BERUBAH.

ZULHAZMI SHARIFF
17 OGOS 2016
SUMBER - Klik Sini 

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...