TERKINI :

Wednesday, August 17, 2016

Polis benarkan himpunan '#TangkapMO1' dengan syarat...


Polis memberi 'lampu hijau' atau kebenaran kepada pihak penganjur #TangkapMalaysianOfficial1 untuk meneruskan perhimpunan pada 27 Ogos ini.

Bagaimanapun, jurucakap kumpulan itu, Anis Syafiqah Mohd Yusuf memberitahu Malaysiakini, mereka diarahkan untuk mendapatkan kebenaran dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ( DBKL) untuk berhimpun di Dataran Merdeka.

Jelas beliau, keputusan tersebut dicapai dalam pertemuan bersama Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah dan dua pegawai DBKL. awal petang ini.

"Kami dimaklumkan secara rasmi oleh polis dan juga telah mengemukakan surat kepada DBKL bagi meminta kelulusan untuk berkumpul di Dataran Merdeka pada 27 Ogos.

"Dalam pertemuan itu, para pegawai DBKL meminta kami menghantar surat rasmi kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur dan selepas itu kami terus berjalan ke pejabatnya," kata Anis Syafiqah.

Ujarnya, surat itu diterima oleh Penolong Datuk Bandar dan diberitahu bahawa beliau akan meneliti permohonan itu hari ini juga.

"Dalam mesyuarat itu, polis juga memberitahu 'buat masa ini, kamu semua (penganjur) baik-baik saja tetapi jika apa-apa berlaku, kami perlu maklumkan ibu bapa dan universiti (apa-apa kesalahan) anda," tambahnya.

Tambahnya, mereka telah dipanggil untuk mengadakan perjumpaan rasmi di Balai Polis Dang Wangi, hari ini.

Ditanya sama ada mereka masih akan berkumpul di Dataran Merdeka jika DBKL tidak memberikan kelulusan, tegasnya, pihak penganjur mematuhi semua syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...