TERKINI :

Wednesday, August 24, 2016

Pengurusan Menara Alor Setar - Mohon pindah lokasi Roller Blade

Mohon pindah lokasi Roller Blade

ALOR SETAR - Pengurusan Menara Alor Setar memohon aktiviti bermain Roller Blade dilakukan di perkarangan menara setiap malam dihentikan dan berpindah ke lokasi lebih bersesuaian.

Pengurus Besar Menara Alor Setar, Haslinda Abdul Rashid berkata, aktiviti ini didakwa menimbulkan masalah kepada mereka.

“Antaranya, pihak menara terpaksa menanggung kerugian apabila beberapa jubin didapati pecah, sehingga perlu dibaiki.

“Malah, ia tidak bersesuaian apabila kawasan menara yang dahulunya tempat beriadah, kini menjadi tempat sukan ekstrem bagi golongan remaja dan belia ini,” katanya.

Kata Haslinda, walaupun ada diletakkan papan tanda larangan bagi mengelakkan impak lebih serius, namun ia didapati tidak diendahkan kebanyakan peminat sukan ekstrem tersebut.

Malah, katanya, pengusaha yang beroperasi dalam taman bersebelahan menara didakwa gagal mengawal pelanggan, sehingga menyebabkan Dataran Menara dijadikan platform permainan itu.

"Kami bimbang keselamatan pengunjung Menara Alor Setar, kerana jika pemain Roller Blade dibiarkan bermain tanpa kawalan, mungkin boleh berlakunya pelanggaran kepada anak kecil bermain.

"Kami juga memandang serius kegiatan berkenaan kerana dikhuatiri menggalakkan kehadiran peragut dan membawa kepada kecurian harta benda awam dan penyewa menara," katanya.

Menurut Haslinda, pihaknya turut mendapati pendapatan menara turut terjejas sepanjang kegiatan Roller Blade tersebut, sekali gus memohon pihak berkenaan mengambil tindakan sewajarnya.

Katanya, pihaknya tidak melarang aktiviti berbentuk riadah di Dataran Menara, tetapi kegiatan berkenaan haruslah bersesuaian dengan lokasi digunakan.

Beliau turut meminta agar peminat Roller Blade menghentikan perbuatan mereka di kawasan tersebut dan berpindah ke tempat lain yang lebih bersesuaian untuk meneruskan aktiviti ini.

Untuk itu, katanya, pihak menara juga berharap pihak berkaitan dapat memberi perhatian dan membuat pertimbangan sewajarnya dengan melakukan pemantauan segera demi menangani masalah tersebut.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...