TERKINI :

Thursday, August 18, 2016

'Pelik, kenapa Pas ajak rakyat tolak Pakatan Harapan?'



SHAH ALAM - Tindakan Pas menubuhkan Gagasan Sejahtera (Gagasan) dan mengajak rakyat agar menolak Pakatan Harapan tidak akan memberi kelebihan kepada pembangkang.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Anuar Tahir berkata, Pas sepatutnya memikirkan kepentingan rakyat, bukannya organisasi mereka.

“Jika Pas sarankan rakyat tolak BN, tak mengapa. Tapi kita hairan mengapa perlu Pas ajak rakyat tolak Pakatan Harapan.

“Sikap Pas yang sebegini akan memberi kesan tidak baik kepada pembangkang secara keseluruhannya. Kalau betul-betul Pas sayangkan rakyat dan inginkan perubahan, lupakan kepentingan diri dan organisasi,” katanya, semalam.

Sabtu lalu, Pas mengumumkan pembentukan blok pakatan pembangkang baharu bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) yang dikenali sebagai Gagasan.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, dengan kewujudan Gagasan, rakyat tidak terikat dengan dua jalur pilihan politik sahaja.

“Justeru rakyat tidak perlu lagi terikat dengan dua pilihan jalur politik sedia ada yang mana satunya terbukti membawa budaya korup, kronisme, nepotisme serta kegagalan menguruskan pentadbiran negara iaitu Blok Umno/BN.

“(Dan) satu lagi jalur politik (Pakatan Harapan) yang menekankan budaya politik emosi, politiking melampau, permusuhan dan kemarahan membuta tuli dalam kalangan rakyat,” katanya.

Anuar berkata, walaupun Pas bersikap demikian, Amanah tidak akan menutup pintu untuk bekerjasama dengan parti itu terutamanya menjelang PRU14.

“Sebagai orang politik, kita kena amalkan sikap yang positif. Bukan bermakna kita tiada jalan untuk berdamai.

“Jika Pas tidak mahu berbincang dengan Amanah atau DAP, mereka boleh berunding dengan pihak lain. Kita tidak akan tutup pintu sebaliknya terbuka untuk bekerjasama asalkan membawa kepentingan rakyat,” katanya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...