TERKINI :

Sunday, August 7, 2016

Pekerja asing akan bertambah dalam negara

Pekerja asing akan bertambah


ALOR SETAR – Persatuan Bekas Kakitangan Imigresen Malaysia (PBKIM) bimbang terhadap penguatkuasaan akta baru Imigresen berkenaan Pas Penggajian (Kategori III) Pekerja Mahir yang berkuatkuasa mulai 1 Ogos lalu.

Presidennya, Leftenan Kolonel (H) Che Hassan Che Johan berkata, perkara itu dikhuatiri menyebabkan berlaku pertambahan pekerja asing khususnya warga Bangladesh di Malaysia.

“Melalui Pas Penggajian ini, tempoh kelulusan jawatan dan kontrak kerja maksimum diberikan kepada mereka selama 12 bulan dan gaji pokok, tidak termasuk elaun yang diberikan sebanyak RM2,500 hingga RM4,999.99 sebulan.

“Kelulusan ini diberikan kepada 15 negara iaitu Thailand, Kemboja, Nepal, Myanmar, Laos, Vietnam, Filipina, Pakistan, Sri Langka, Turkmenistan, Uzbekistan, Kazakstan, India, Indonesia dan akhir sekali Bangladesh. Pas ini tidak membenarkan mereka bawa tanggungan, maknanya tidak boleh bawa isteri,” katanya kepada media.

Menurutnya, kebanyakan Pas Penggajian yang diberikan pada sebelum ini telah disalah gunakan oleh pihak tertentu dengan membawa masuk pekerja yang tidak mahir, serta tidak mempunyai sijil kelayakan yang diiktiraf kerajaan mereka mahupun Malaysia.

“Saya nasihatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) lebih teliti sebelum membawa mereka ini masuk ke Malaysia. Pertamanya perlu bekerjasama dengan agensi CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Malaysia) dan Jabatan Tenaga Kerja supaya mereka ini ditapis terlebih dahulu di negara asal.

“Saya takut sebab banyak pekerja-pekerja mahir ini mereka buat penipuan di atas sijil. Jadi tidak ada sesiapa yang boleh mengesahkan bagi pihak kedutaan kita di seberang laut, contohnya Bangladesh. Bila keluar arahan mereka tak ada satu SOP (prosedur operasi standard) yang mengatakan siasat dahulu sijil itu sama ada tulen atau tidak,” katanya.

Che Hassan turut berpandangan pekerja-pekerja asing, khususnya Bangladesh terlalu terdesak untuk datang ke Malaysia mencari rezeki dan sanggup membayar berbelas ribu ringgit kepada ejen untuk membolehkan mereka datang ke negara ini.

“Saya tak hairan kalau mereka sanggup memberi sebanyak RM12,000 atau mungkin RM20,000 kepada ejen mereka di sana supaya dapat masuk ke sini. tujuan mereka untuk bekerja, mereka tak pilih kerja,"katanya.

Katanya, pekerja mahir di Malaysia ini cukup hebat, lebih daripada mampu untuk menjalankan kerja mahir ini. Kalau ikutkan mahir ini di Thailand lebih hebat lagi dalam pengurusan pembinaan dan perkhidmatan. Saya ingat Bangladesh ini hanya mahir dalam tukang jahit, selain buruh kasar.

“Jangan hanya kata juruteknik, tapi bila datang ke lapangan terbang dan pegawai (Imigresen) kita persoal mana spanar dan pemutar skru pun tak kenal. Ini memang banyak berlaku apabila mereka datang ke lapangan terbang untuk dapatkan pelepasan Imigresen, pegawai kita memang disuruh mengikut SOP yang ditetapkan, akan tanya mereka datang bekerja ataupun sebagai pelajar," katanya.

Katanya, sekiranya nisbah seramai 15 orang pekerja asing dibawa masuk ke Malaysia, kebiasaannya 10 orang tidak ada kemahiran dan hanya menumpang sahaja atas status pekerja mahir untuk masuk ke negara ini.

“Saya ingin katakan ada pekerja mahir telah dibawa masuk, tapi bekerja sebagai tukang sapu dan pencuci kereta. Saya ada bukti pekerja ini ditempatkan di mana. Ini membuktikan mereka telah salah guna pas yang sepatutnya digunakan sebagai pekerja mahir.

“Mulai 1 Ogos, mereka dibenarkan masuk oleh majikan-majikan yang perlu untuk mendapatkan khidmat mereka sebagai pekerja mahir. Saya ingat pekerja mahir ini tidak dapat jangka berapa ramai, tapi apabila dah dibenarkan ada syarikat yang bersekongkol dengan agen-agen yang terlibat untuk menerima wang pekerja asing,” katanya..

Che Hassan mendakwa, sekiranya sebuah kilang itu memerlukan 20 pekerja mahir, mereka boleh membuat permohonan sehingga 40 orang pekerja mahir dengan 20 daripadanya itu akan dicampakkan di mana-mana lokasi lain.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...