TERKINI :

Tuesday, August 23, 2016

PAS sedia bincang dengan Bersatu, bukan Amanah atau DAP

 nik-bersatu-pas
KOTA BHARU: PAS sedia membuka ruang perbincangan dengan parti yang ingin bekerjasama dengannya, kecuali DAP dan Amanah yang disifatkannya pengkhianat parti itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, tawaran itu juga terbuka kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dilaporkan sedang mengintai kerusi pembangkang untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menjelaskan pendirian PAS terhadap DAP dan Amanah, Mohd Amar berkata: “Pendirian ini jelas kerana DAP jelaskan sikapnya yang anti PAS dan terbaharu jawatankuasa pemudanya juga menyatakan kalau ingin berkawan dengan DAP, jangan cakap pasal Islam.

“Mana boleh PAS sebagai parti Islam berbuat demikian…takkan kita nak korbankan perjuangan parti kita. Amanah pula sudah jelas adalah pengkhianat kepada parti (PAS)…kalau (parti) yang lain boleh dibincangkan,” katanya selepas Istiadat Konvokesyen Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Ke-18 di Balai Islam, Lundang, hari ini.

Konvokesyen itu dirasmikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Kenyataan Mohd Amar itu sebagai mengulas kenyataan Presiden penaja Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berhasrat mengadakan rundingan pembahagian kerusi pembangkang, sebaik pendaftaran parti itu diluluskan Pendaftar Pertubuhan.

Mohd Amar berkata, setakat ini tiada sebarang rundingan rasmi diadakan antara PAS dan Bersatu berhubung perkara itu.

“Lagipun perkara ini perlu dibincang di peringkat parti. Kita kena rujuk kepada jawatankuasa PAS pusat,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, kerajaan negeri sedia memberi kerjasama kepada kerajaan Persekutuan dalam menangani isu keselamatan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

“Kita akui sempadan negeri kita dan Thailand terlalu terbuka kerana jaraknya yang panjang dan tiada benteng. Walaupun ada kawalan, ruang untuk diceroboh itu terbuka,” katanya mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sempadan Kelantan paling teruk dibolosi, khasnya untuk kegiatan penyeludupan dadah dan senjata api.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...