TERKINI :

Sunday, August 7, 2016

Pakatan Rakyat Dan Pakatan Harapan ,Persamaan Dan Perbedaan

Oleh Hayar Hassan


Mengikut sejarahnya Pakatan Rakyat@PR telah direalisasikan pada tahun 2008 oleh beberapa tokoh pemimpin PAS,PKR dan DAP pada 1 April 2008 . PR kemudiannya menyertai PRU ke 12 dan ke 13. Prestasi terbaik PR adalah dalam PRU ke 13. PR mempunyai 89 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi parlimen.. PR juga mempunyai 239 kerusi DUN daripada 576 keseluruhan kerusi DUN. Di samping itu, PR mampu menghantar 8 ahli-ahlinya ke Dewan Negara. PR juga meraih undi popular 51.0 % daripada keseluruhan undi. Ini bermakna PR lebih popular daripada BN. PR juga masih mampu menafikan majoriti 2/3 BN di Parlimen. Itu lah kenangan yang amat manis buat pemimpin dan penyokong-penyokong PR !

Namun begitulah putaran kejadian alam ini, sesuatu yang bermula pasti akan menemui penghujungnya. PR telah berkubur pada 16 Jun 2015. PR hanya dapat bertahan selama sekitar lebih kurang 7 tahun. Banyak faktor-faktor dalaman dan luaran yang menyebabkan PR tidak dapat bertahan lama seperti BN. Kebanyakan daripada kita sudah maklum akan faktor-faktor tersebut.

Namun demikian, pimpinan PKR, DAP dan golongan Anwarinas dalam PAS tidak berlarut-larut dalam kesedihan apabila PR berkubur. Barang yang lepas tak perlu dikenang, biarkannya berada dalam lipatan sejarah sahaja. Kita hanya perlu mengambil iktibar atas apa yang telah terjadi. Pastinya semua kejadian itu ada hikmahnya.

Setelah 3 bulan masa berlalu, Pakatan Harapan@PH berjaya ditubuhkan pada 22 September 2015. Keanggotaannya tetap daripada parti-parti pembangkang utama, cuma PAS tetap memilih untuk bersendiri membentuk apa yang dikatakan Blok ketiga. Tempat PAS telah diambil oleh Parti Amanah Negara@Amanah. Walau pun PAS telah dijemput bersama, namun undangan itu tetap dipandang sepi oleh pimpinan PAS terkini. Biarkan lah PAS dengan sikapnya yang suka bersendirian dan Kepimpinan Ulamaknya. Malaysia mengamalkan sistem demokrasi. Semua orang boleh memilih caranya sendiri dalam kerangka yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Hanya selepas 7 bulan penubuhan PH, ujian kesepakatan dan kerjasama PH diuji dengan PRN Sarawak. Ternyata BN mengambil manafaat daripada terkuburnya PR apabila membubarkan DUN Sarawak. Dalam kedaan yang singkat dan perbedaan kesefahaman yang belum kuat lagi antara pimpinan PH Semenanjung Malaysia dan pimpinan parti-parti pembangkang Sarawak, PRN Sarawak tetap diadakan. Ternyata, PRN Sarawak tidak memperlihatkan kesepakatan yang mantap antara PH dan parti-parti pembangkang Sarawak. Banyak berlaku pertandingan pelbagai penjuru antara parti-parti politik pembangkang Sarawak. Lebih malang lagi ada juga terjadi pertembungan antara parti-parti dalam PH itu sendiri. Hujung-hujungnya BN menang penuh bergaya dalam PRN Sarawak dan tetap mempunyai majoriti 2/3.

Tidak lama selepas PRN Sarawak, berlaku lagi 2 PRK di Semenanjung Malaysia yang juga dimenangi oleh BN. Ternyata BN akan terus memenangi setiap PRK atau PRN kalau parti-parti pembangkang tidak bersatu. Pertandingan 3 penjuru akan menyebabkan BN menang mudah. Itulah sifirnya. Dalam hal ini BN akan sentiasa berusaha keras untuk terus memperalatkan mana-mana parti pembangkang yang kurang cerdik agar pertandingan 3 penjuru tetap terjadi untuk kawasan Parlimen atau DUN yang dimenangi oleh parti pembangkang dengan majoriti yang tipis.

Apakah wajar sebuah parti politik pembangkang yang sudah lama wujud terus diperalatkan oleh UMNO/BN?

PR dan PH memang mempunyai persamaan. Matlamat utama kedua-duanya adalah untuk mengalahkan UMNO/BN dalam proses pilihanraya. Namun PH ini selepas PRN Sarawak , PRK-PRK Sungai Besar , Kuala Kangsar dan yang terakhir selepas pembatalan cadangan PRN Pulau Pinang, lebih bersedia, lebih terurus dan lebih sepakat dalam banyak hal. Komen-komen positif daripada tokoh-tokoh PKR, DAP dan AMANAH selepas YAB Saudara Lim Guan Eng membatalkan rancangan mengadakan PRN Pulau Pinang amat melegakan ahli-ahli parti dan penyokong-penyokong PH.

Dato’ Seri Mohamad Azmin Ali , Timbalan Presiden PKR dan Dato’ Mujahid Yusof Rawa, Naib Presiden AMANAH memuji keputusan bijaksana KM Pulau Pinang membatalkan rancangan mengadakan PRN Pulau Pinang itu. Komen-komen positif mereka berdua menggambarkan bahawa pemimpin-pemimpin PH adalah lebih matang, tidak berprasangkaburuk antara satu sama lain dan saling hormat menghormati.

Akhir-akhir ini mereka lebih bijaksana menguruskan perbedaan pendapat. Menurut YB Saudara Nga Kor Ming, Pengerusi DAP Perak, keputusan KM Pulau Pinang itu membuktikan bahawa DAP amat menghargai semangat konsensus yang diamalkan oleh PH. Perjanjian PH yang ditandatangani pada tahun 2015 itu mengikat dan mewajibkan semua parti-parti dalam PH mengikutinya. Semua keputusan dasar wajib mendapat persetujuan ketiga-tiga parti dalam PH. Inilah yang ingin ditonjolkan oleh YAB Saudara Lim Guan Eng.

Berbeza dengan BN, dalam banyak hal, UMNO membuat keputusan muktamad tanpa merujuk pandangan 12 komponen parti dalam BN. Contohnya , UMNO mengizinkan pembentangan RUU Persendirian yang dikemukakan oleh Presiden PAS tanpa mendapat persetujuan daripada komponen parti-parti BN.

Amalan konsensus dalam PH tentunya meningkatkan lagi kepercayaan rakyat kepada PH. Inilah bezanya antara PR dahulu dengan PH sekarang. Pemimpin-pemimpin PH sekarang ini lebih berjaya menguruskan perbezaan-perbezaan mereka. Semoga budaya murni ini dapat diteruskan dan menjadi amalan semua pemimpin dan ahli-ahli parti-parti PH. Hormat menghormati antara satu sama lain dan setia kepada perjanjian yang telah dibuat adalah kunci utama kejayaan PH. Amalkan selalu peribahasa Melayu “ Bagai Aur Dengn Tebing “.

Sekian, Terima Kasih.

Hayar Hassan

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...