TERKINI :

Saturday, August 13, 2016

Orang sekarang pandai lesap duit parti, kata Akhbar Satar

PETALING JAYA: Dana parti terdedah kepada penyelewengan kerana di negara ini kebanyakan derma politik dimasukkan ke akaun persendirian, kata Presiden Transparency International Malaysia (TI-M).

Malah sistem pengurusan derma politik jika diperbaiki atau diubah tidak membantu sekiranya ia dikendalikan orang yang tidak berintegriti, tegas Datuk Akhbar Satar.

“Orang sekarang ini kreatif. Pandai tipu sana, bohong sini, dia ada cara dia,” kata Akhbar ketika dihubungi FMT. “Apa pun cara Umno dahulu atau import sistem dari Eropah kalau orang yang mengendali itu tak berintegriti tak berguna juga.”

Beliau mengulas nukilan Tun Musa Hitam dalam bukunya ‘Frankly Speaking’ yang menceritakan amalan urus derma politik pada zamannya. Bekas Timbalan Perdana Menteri itu bersara daripada Umno pada 1987.

“Zaman itu, ketirisan dan salah guna dapat dielakkan,” tulis Musa. “Malangnya, prosedur sedemikian tidak lagi menjadi amalan biasa pada hari ini.”

Menurut Musa, bekas TPM Tun Dr Ismail Abdul Rahman ketika menguruskan wang parti menetapkan setiap sumbangan kepada Umno mesti diisytiharkan, direkodkan dan tidak boleh diterima secara peribadi.

“Tak ada orang di Malaysia yang nak bagi dana politik tak berharap sesuatu,” kata Akhbar mengulas syarat ketat yang dinyatakan Musa itu.

“Di luar negara apa yang parti politik buat adalah isytihar sumbangan secara dalam talian. Yang pertama, mereka lebih telus. Yang kedua, dana tak diseleweng. Itu yang terbaik,” tegasnya.

Menurut Akhbar, menangani penyelewengan derma untuk parti tidak semestinya perlu sistem pengurusan dana yang kompleks.

“Kita nak orang yang mengendali ada integriti. Selesai banyak masalah,” ujarnya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...